SEBUYAU: Masyarakat sekali lagi diingatkan untuk menyediakan permit sah sebelum melakukan aktiviti pergerakan rentas zon berikutan operasi Sekatan Jalan Raya(SJR) di pangkalan Feri Beliong-Triso dilaksanakan dalam tempoh 24 jam tanpa henti.

Ketua Polis Daerah Simunjan, DSP Nixon Joshua Ali menegaskan pihaknya tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi prosuder operasi standard (SOP) ketika melalui SJR di kawasan terbabit.

Menurut beliau, tindakan gagal menunjukkan permit sah pergerakan oleh individu kepada pihak polis akan diarahkan berpatah balik semula ke zon asal serta merta.

“Kita memandang serius dan tidak akan bertolak ansur kepada mana-mana individu yang gagal mematuhi SOP ini.

“Untuk itu, masyarakat yang ingin membuat pergerakan rentas zon diingatkan supaya mendapatkan permit sah daripada balai polis berdekatan terlebih dahulu,” jelasnya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.

Dedahnya, operasi tersebut dijalankan seramai enam anggota dan pegawai kanan dalam setiap shif dengan penugasan statik selama 24 jam.

Nixon dalam pada itu turut mendedahkan pelaksanaan SJR di lokasi terbabit yang bermula 1 Ogos 2020 dulu sehingga kini masih berjalan lancar.

Katanya, sebahagian besar masyarakat dilihat mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP) serta memiliki premit pergerakan sah ketika merentasi zon kedua-dua kawasan.

Ujar beliau, orang ramai dinasihatkan sebaik-sebaiknya mengurangkan pergerakan rentas zon dalam tempoh dua minggu bermula 1 Ogos bagi memastikan rantaian wabak Covid-19 dapat dibendung dengan lebih besar dan berterusan.