SIBU: Pengunjung datang berpusu-pusu pada hari pertama pembukaan Pasar Tamu Mingguan Sibu di lokasi baharu, di Taman Indah, Teku kelmarin.

Pasar tamu ini yang sebelum ini terletak di Jalan Mahsuri, berdekatan pusat bandar ini beroperasi dari jam 6 pagi hingga 11 pagi setiap Sabtu dan Ahad.

Bagaimanapun, ia terpaksa dihentikan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

Sabtu ia beroperasi di tempat baharu. Tinjauan di lokasi baharu ini (Taman Indah, Teku) yang terletak sekitar 6 kilometer dari pusat bandar turut tidak mempunyai masalah dan ia tetap dikunjungi orang ramai. Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh berkata, pemindahan pasar tamu tersebut dari Jalan Mahsuri mendapat sambutan yang amat memberangsangkan kerana ramai pengunjung sudah mula masuk seawal jam 6.30 pagi.

“Saya berasa lega ia tetap mendapat sambutan seperti di lokasinya sebelum ini. Memang terdapat segelintir pihak tidak bersetuju dengan MPS kerana memindahkannya agar jauh dari pusat bandar kerana ia akan menyulitkan para penjaja yang datang dari luar bandar.

“Kita memindahkannya atas sebab lokasi lamanya (Jalan Mahsuri) tidak mampu menampung jumlah penjaja yang ramai. Tambahan pula ia agak sempit, sekali gus menyukarkan penjarakan fizikal.

“Dengan kawasan kecil itu di tapak komersial lama, tamu hujung minggu ini tidak sesuai lagi di situ.

“Tempat baharu ini agak luas dan mampu menampung sekitar 200 hingga 300 penjaja, namun disebabkan PKPP dengan prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan penjarakan fizikal mesti dipatuhi, MPS hanya membenarkan sebanyak 114 penjaja berniaga di sini,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan tinjauan ke Pasar Tamu Mingguan Sibu, kelmarin.

Beliau turut memantau dan menerima maklum balas penjaja dan pengunjung.

Ting berkata, dengan peningkatan jumlah pengunjung yang ramai setiap jam, pihaknya menjangkakan lebih banyak penjaja akan berminat untuk beroperasi di sini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Peniaga dan Penjaja Kecil MPS Kaunselor Albert Tiang yang turut mengiringi Ting memberitahu bahawa beberapa penambahbaikan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat untuk pasar tamu ini.

Tetapi isu utama dalam jangka masa pendek ini adalah memperkenalkan aliran lalu lintas baharu ketika waktu puncak dan memperkenalkan beberapa jalan masuk baharu ke tapak pasar tamu.

“Jumlah penjaja yang boleh beroperasi ketika ini adalah terhad disebabkan PKPP.

“Bagaimanapun, peluang untuk penjaja bumiputera masih lagi terbuka dan boleh memohon dan merebut peluang ini untuk mempromosikan produk mereka. “Selepas PKPP ditamatkan, mungkin kita tidak lagi mengehadkan jumlah penjaja kerana tidak ada lagi penjarakan fizikal ditetapkan termasuk SOP,” jelasnya sambil memberitahu, MPS akan melaksanakan perkhidmatan tandas bergerak di kawasan tersebut, termasuk membekalkannya dengan bekalan air untuk keselesaan penjaja dan pengunjung.