KUCHING: Sarawak mencatatkan sifar kes positif Covid-19 dengan jumlah keseluruhan kes positif kekal 678 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam kenyataan semalam berkata, lima kes telah pulih dan dibenarkan didiscaj dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini adalah seramai 599 orang atau 88.35 peratus.

“Seramai 60 orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital.

Jumlah kematian kekal 19 orang atau 2.80 peratus,” jelas kenyataan tersebut.

JPBN turut memaklumkam seramai 15 individu bawah siasatan (PUI) baharu dilaporkan dan tiada kes menunggu ujian makmal.

Tambahnya, lima daerah yang masih mencatatkan status kuning ialah Kuching, Serian, Bau, Lundu dan Samarahan.

Terdapat 10 kluster yang masih aktif iaitu Kluster Syarikat Kejuruteraaan (lapa), Kluster Mambong (tujuh), Kluster Pusat Perubatan (tiga), Kluster Jupiter (tiga), Kluster Pasar Stutong (tujuh), Kluster Jeti Kuching (dua, Kluster Sentosa (31 kes), Kluster PUI Melbourne (tiga), Kluster Syarikat Pembinaan Kuching (dua), Kluster Pasar Satok (empat).