Kes serangan buaya ke atas manusia yang menghiasi dada akhbar sejak kebelakangan ini sekali lagi menggemparkan negara kita, terutama warga Sarawak yang terkenal dengan legenda Bujang Senang.

Insiden terkini yang mengorbankan seorang remaja berusia 14 tahun di Tanjung Manis dan berlaku hanya dua hari selepas kejadian sama membabitkan seorang lelaki di Sri Aman.

Hakikatnya kes seumpama ini bukan sesuatu yang baharu kerana mengikut statistik Jabatan Hutan Sarawak (JHS) sebanyak 25 kes serangan buaya dicatatkan sejak 1941 sehingga 1980 dan lebih menyedihkan apabila semua mangsa serangan meninggal dunia.

Bermula 1981 hingga November 2018, sebanyak 151 kes serangan buaya direkodkan dan daripada jumlah itu hanya 70 orang mangsa yang selamat.

Pada masa yang sama, sekitar 45 batang sungai di negeri ini dikenal pasti sebagai lubuk buaya sejak Sarawak melaksanakan Ordinan Hidupan Liar pada 1990.

Sebelum ini, memburu, membunuh, menangkap, menjual, mengimport, mengeksport, memelihara atau menyimpan bahagian atau organ buaya tanpa lesen sah boleh dihukum satu tahun penjara dan denda tidak lebih RM10,000.

Malah, setiap individu dilarang memburu dan membunuh reptilia tersebut dengan sewenangwenangnya kecuali ia mengancam kehidupan manusia.

Bagaimanapun, konflik buaya dan manusia membuka ruang kepada pemburu, sekali gus mengurangkan populasi haiwan ganas itu terutama di kawasan penempatan manusia dan pusat tumpuan orang ramai.

Persoalannya mengapa buaya mengganas? Kita tidak menolak kemungkinan, ia sebahagian sifat semula jadi haiwan itu sebagai pemangsa atau mungkin melindungi habitatnya daripada dicerobohi.

Manusia dan buaya juga berkongsi ‘rumah’ yang sama iaitu sungai menjadi sumber rezeki, di samping faktor kepercayaan yang mengaitkannya dengan pantang dan dendam.

Dalam satu laporan akhbar, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, berkata, Jabatan Hutan Sarawak perlu memastikan pemburu buaya berlesen di Sarawak mematuhi protokol dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan penakaian buaya Sarawak dilakukan secara terkawal serta memenuhi tujuan utamanya.

“Sudah tentu apabila lesen penakaian diberikan, pemegang lesen ini mesti mematuhi protokol dan SOP ditetapkan semasa memburu buaya.

“Ini penting, bukan hanya memastikan penakaian dilakukan adalah terkawal, tetapi mengelak wujudnya tanggapan negatif, iaitu kita bertindak kejam terhadap haiwan sedangkan tujuan utamanya adalah untuk keselamatan.

“Pengeluaran lesen penakaian buaya bertujuan menyeimbangkan populasi reptilia itu agar tidak membahayakan manusia dan spesies itu sendiri,” ujarnya.

Bagaimanapun Len Talif mendedahkan tidak ramai penduduk setempat yang sanggup mendapatkan lesen penakaian kerana masih terikat dengan pantang larang nenek moyang mereka.

Sejak beberapa tahun lalu, Sarawak bersetuju penakaian secara terkawal dilakukan di sungai yang didapati banyak populasi buaya seperti Sungai Bako, Sungai Sibuti dan Batang Lupar.

Sehubungan itu kerajaan juga menetapkan beberapa garis panduan sebagai langkah untuk mengurangkan konflik antara buaya dengan manusia.

Antaranya, buaya liar boleh dibunuh atau ditangkap sekiranya dikesan di kawasan Zon Nyah Buaya dan tiada lesen diperlukan bagi tujuan tersebut.

Sekarang ini, buaya bukan lagi haiwan dilindungi sepenuhnya apabila Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Flora dan Fauna Terancam (CITES) di Johannesburg, Afrika Selatan, membenarkan buaya di Sarawak diburu bagi tujuan komersial.

Malah, melalui Seksyen 41 WLPO 1998, reptilia ini juga boleh dibunuh atau ditangkap oleh pihak berkuasa bagi tujuan mengawal populasi spesies purba berkenaan.