BETONG: Kebiasaannya para pelajar akan ke kantin sekolah ketika rehat untuk membeli makanan.

Namun ia amat berbeza semalam, apabila tempahan makanan dibuat melalui aplikasi WhatsApp.

“Sekarang ini kantin tidak beroperasi seperti biasa dan ekoran daripada itu, pelajar dan guru terpaksa menempah makanan atau minuman secara dalam talian melalui pihak Timbalan Pengarah Akademik (TPA) dan Personal Incharge Center (PIC),” kata Pegawai Perhubungan Awam Kolej Vokasional (KV) Betong Rosita Azool.

“Melalui inisiatif ini, tempahan dihantar ke kantin dan akan dituntut selepas ia siap. Pelajar dalam pada itu hanya dibenarkan makan di meja masing-masing di dalam kelas,” ujarnya.

Ditanya cabaran utama pembukaan KV Betong semalam, Rosita memaklumkan pelajar susah untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pergerakan memandangkan kawasan yang terlalu luas.

“Begitu juga pada waktu amali, agak sukar kerana peralatan tidak mencukupi untuk setiap pelajar.

“Lebih-lebih lagi apabila pelajar terpaksa dibuat dalam dua atau tiga sesi kumpulan semasa memasuki bengkel,” jelasnya.

Difahamkan, kelas-kelas di KV Betong ditetapkan sekitar 20 orang hingga 28 orang bagi kelas yang menggunakan bilik Alat Pandang Dengar yang lebih besar.

Beliau secara keseluruhan berpuas hati dengan tahap pematuhan semua guru, anggota kumpulan sokongan (AKP) dan pelajar terhadap SOP dan arah pergerakan yang telah dibuat.

Terdahulu Pengarah Lim Ah Juan turut menyampaikan taklimat berhubung pematuhan SOP dan garis panduan yang ditetapkan.