KUCHING: Sejumlah 3,595 Kad Emas Kenyalang diserahkan kepada 14 Dun di Kuching untuk diagihkan kepada penerima di kawasan masing-masing, semalam.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, Adun yang sudah menerima kad boleh menghubungi penerima kad berkenaan bagi mendapatkannya.

“Sekiranya terdapat kesilapan nama atau dokumentasi diri pada kad berkenaan, ia boleh dikembalikan untuk dikeluarkan semula.

“Kita tidak menolak kemungkinan berlaku beberapa kesilapan ketika warga emas mengisi borang permohonan,” kata Fatimah.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyampaian Kad Emas Kenyalang kepada wakil penerima Bahagian Kuching di Bangunan Baitulmakmur, di sini semalam.

Fatimah mendedahkan, terdapat pelbagai kemudahan yang boleh dinikmati seperti diskaun atau yuran percuma untuk barangan termasuk perkhidmatan ditawarkan oleh agensi kerajaan pihak swasta dan pusat komersial yang menjadi rakan strategik kad itu.

“Ini juga merangkumi bidang perubatan dan pemulihan, pengangkutan awam seperti bas ekspres dan barangan runcit, pakaian, penjagaan mata, penjagaan diri, refleksologi, urut dan spa termasuk dandanan rambut,” jelasnya.

Katanya, sebanyak 89 rakan strategik kad bersetuju untuk memberi potongan harga, diskaun atau perkhidmatan berkaitan.

“Bahagian Kuching mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 46 rakan strategik kerana di bahagian ini permohonan paling banyak diterima.

“Cuma di Sarikei, Kapit dan Mukah masih belum ada rakan tetapi kerajaan berusaha,” jelasnya.

Beliau memberitahu bahawa jumlah permohonan secara manual untuk KGC setakat 31 Julai sebanyak 161,761 manakala jumlah permohonan secara dalam talian bermula dari Mei hingga kini sebanyak 8,089 permohonan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 100,903 kad yang dicetak dan 16,964 kad diagihkan setakat ini,” katanya.

Beliau menegaskan, pemohon perlu mengisi maklumat lengkap berkaitan dengan nombor kad pengenalan, nombor telefon, alamat dan dokumen lain yang penting.

“Nombor telefon misalnya membolehkan kami menghubungi penerima dengan cepat,” ujarnya lagi.

Terdahulu Fatimah menyampaikan kotak mengandungi Kad Emas Kenyalang kepada wakil Adun Satok yang juga Timbalan Ketua PBB Cawangan Satok Datuk Ibrahim Baki, Adun Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep, Adun Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, dan wakil Adun Samariang Datuk Seri Abdul Aziz Hassan.