KUCHING: Seorang guru Matematik sekolah rendah kebangsaan di sini mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan penderaan seksual terhadap dua murid lelaki dan seorang murid perempuan dibebaskan dengan jaminan sehingga kes disebut semula pada 1 September depan.

Hakim Mahkamah Khas Kanak-kanak Jason Juga mengarahkan guru berusia 37 tahun dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin tempatan dan mendepositkan RM5,000 tunai kepada mahkamah.

Mahkamah juga mengarahkan supaya penjaminnya mesti mempunyai pekerjaan serta tempat tinggal tetap sebagai syarat.

Tertuduh menghadapi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun serta sebatan bagi satu kesalahan berkenaan.

Untuk kesalahan pertama, tertuduh didakwa menarik alat sulit murid lelaki Tahun 6 sekitar jam 9 pagi hingga 10 pagi di dalam kelas di sekolah terbabit pada 14 Januari lalu.

Bagi kesalahan kedua, tertuduh mendera secara fizikal seorang lagi muridnya, juga Tahun 6 dengan mencium mulut dan menarik kemaluan kanak-kanak itu pada jam dan tarikh yang sama.

Untuk kesalahan terakhir, tertuduh didakwa meraba bahagian dada murid perempuan di kelas dan tarikh yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Ruthra Raj hadir sebagai pihak pendakwaan sementara tertuduh diwakili peguam Steven Beti dan Gerald Donald.