BETONG: Sebelum ini pelajar bergerak ke bilik mata pelajaran setiap kali pertukaran waktu.

Namun sejak semalam hanya guru dibenarkan bergerak dan pelajar kekal di dalam satu bilik.

Pegawai Perhubungan Awam Kolej Vokasional (KV) Betong Rosita Azool memberitahu, ia ekoran pelaksanaan norma baharu yang bersesuaian dengan garis panduan pembukaan sekolah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Secara keseluruhan konsep pembelajaran masih seperti biasa.

“Cuma pergerakan pelajar sangat terhad kerana mereka disediakan satu bilik kekal.

“Kalau sebelum ini, pelajar akan bergerak ke kelas-kelas terutama subjek akademik.

“Misalnya, apabila subjek Bahasa Melayu (BM), mereka akan ke kelas BM, begitu juga kalau waktu Matematik, mereka akan ke kelas Matematik.

“Tetapi dalam norma baharu, pelajar disediakan satu bilik untuk satu program dan guru akan bergerak ke kelas tersebut,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.