KUCHING: Buah kelapa muda bersaiz kecil dan manis dari Kampung Tanjung Apong di Asajaya laris dijual berikutan cuaca panas.

Bayangkan purata 200 biji dapat dijual oleh Siti Nur Fara Dohe, 32, kepada penggemar air kelapa muda di sekitar bandar raya ini.

“Gerai saya kebiasaannya menjual buah kelapa muda bersaiz kecil hingga 200 biji sehari terutamanya ketika cuaca panas terik.

“Bekalan kelapa diperoleh dari kampung saya sendiri,” katanya ketika membuka gerai menjual kelapa muda itu bersama-sama abangnya, Saidina Albab Dohe, 34, di pusat perniagaan di Jalan Stutong, di sini.

Siti berkata, penduduk kampungnya yang mengusahakan tanaman kelapa memaklumkan mereka yang memperoleh baka dari Sabah dan ada juga kacukan dari Thailand.

“Sebab itu rasa airnya manis dan tidak perlu ditambah gula atau pemanis,” katanya.

Ceritanya lagi, kelapa itu dijual pada harga RM4 sebiji dengan kebanyakan pelanggan bandar raya ini yang mahu menghilangkan panas badan.

“Ada pelanggan membeli untuk tujuan perubatan tetapi kebanyakannya memilih air kelapa ini sebagai minuman kegemaran.

“Jika boleh mereka tidak mahu ketinggalan walaupun sehari,” katanya.

SITI NUR FARA DOHE