SELANGAU: Projek rakyat akan terus diusahakan untuk mengubah landskap pembangunan di kawasan Dun Tamin selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk mencapai negeri maju pada 2030.

Adun Tamin Christopher Gira Sambang berkata, beliau komited membawa perubahan dan pembangunan di Tamin supaya penduduk tidak ketinggalan dari segi infrastruktur asas dan kemudahan lain.

“Itulah misi dan perjuangan saya sebagai wakil rakyat anda. Saya mahu memastikan segala pembangunan di kawasan Dun Tamin akan terus dilaksanakan mengikut perancangan kita sebelum ini.

“Harapan rakyat adalah mempunyai kerajaan yang telus dan komited bekerja untuk agenda pembangunan mereka. “Bagaimanapun, ia tidak dapat dilaksanakan dalam sekelip mata dan memerlukan masa untuk direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah James Medan, Nanga Tanyit, Batang Oya di sini, kelmarin.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Negara Senator Rita Insol serta ketua masyarakat setempat. Menurutnya, pelaksanaan projek rakyat oleh Kerajaan Negeri seperti bekalan elektrik dan air sedang giat dilakukan, termasuk projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dun Tamin.

Projek naik taraf loji penapisan air di Sekuau Selangau juga telah diluluskan dengan peruntukan RM117 juta dan kini dalam proses tender, jelasnya.

“Pelbagai projek insfrastruktur di Dun Tamin sedang rancak dilaksanakan sama ada ia sedang dalam pembinaan mahupun dalam perancangan.

“Kita mahu penduduk luar bandar hidup selesa dengan meningkatkan pelbagai kemudahan insfrastruktur di kawasan mereka sejajar dengan misi dan visi kerajaan negeri kita di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” tegasnya lagi.

Tambah beliau, peruntukan bagi pembinaaan SMK Selangau juga telah diluluskan dan kerja kerja survei tapak telah dimulakan pada 15 Julai lalu.

Dalam program tersebut, beliau turut menyumbang RM10,000 melalui gerannya kepada Biro Wanita Rumah James Medan dan turut melancarkan lagu ‘Sarawak Maju’ yang dicipta oleh Penghulu Andrewson Ngalai.