KUCHING: Kad Emas Kenyalang kini boleh dipohon dalam talian menerusi aplikasi iSarawakCare, kata Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menteri Kesejahteraan, Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak itu berkata, aplikasi mudah alih tersebut akan membantu mempercepat proses permohonan kad berkenaan.

“Dengan menyediakan aplikasi dalam talian tersebut ia membolehkan penghantaran lebih cepat kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum penyempurnakan penyampaian simbolik KGC kepada Adun (Kuching) di Bangunan Baitulmakmur, di sini semalam.

Tambahnya, aplikasi tersebut juga memudahkan pihak mereka menyampaikan maklumat bantuan kepada pemohon dan sebagainya.

“Jadi, kami menggesa supaya pemohon memberikan butir dan perincian lengkap dalam borang permohonan.

Saya yakin, ada pihak yang masih belum memohon KGC dan mereka boleh mengisi borang permohonan menerusi aplikasi tersebut,” jelasnya.

Beliau mendedahkan, selepas permohonan itu dibuat menerusi aplikasi berkenaan, pengguna akan diberitahu semua jenis bantuan yang ditawarkan.

“Ia termasuk dengan jenis bantuan yang layak diterima di bawah kementerian ini dan sebagainya,” katanya lagi.

Aplikasi iSarawakCare dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 8 Mac 2019 sebagai inisiatif ke arah digitalisasi untuk Sarawak.