KUCHING: Kementerian Kerja Raya memandang serius isu keselamatan pengguna dan penyelenggaraan di Lebuh Raya Pan Borneo.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, terdapat aduan daripada orang awam mengenai keadaan tapak pembinaan projek yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya selain isu projek itu yang tertangguh.

“Ketika Pakatan Harapan (PH) menukar kaedah pelaksanaan daripada Rakan Penyampaian Projek (PDP) kepada JKR, ia banyak mempengaruhi perancangan dan pemantauan projek berkenaan.

“Sebab itu, saya mengarahkan pasukan JKR bersama-sama JKR Sarawak segera ke lapangan berjumpa dengan semua kontraktor bagi memastikan kerja penyelenggaraan projek dikendalikan dengan baik,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya itu menambah, perjumpaan berkenaan bagi memastikan segala kerja pengurusan trafik seperti lampu dan papan tanda dilaksanakan dengan baik.

“Ini juga termasuk kerja mengaudit keselamatan jalan raya. Perkara ini perlu dilaksanakan dengan baik supaya dapat menjamin keselamatan pengguna dan pekerja ketika berada di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Ibadah Korban Aidiladha Pemuda Satok 2.0 di sini kelmarin.

“Pada waktu sama, pengguna jalan raya disaran untuk berhatihati ketika melakukan perjalanan di sepanjang tapak pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo. “Jangan memandu terlalu laju terutama pada waktu malam di kawasan pembinaan tersebut. Ia amat bahaya,” tegasnya.

Menjelaskan mengenai kekangan melibatkan pemilik tanah di Lebuh Raya Pan Borneo, Fadillah mendedahkan, isu tersebut sudah selesai.

Jelasnya, kini fokus hanya untuk pelaksanaan, pemantauan dan pematuhan yang lancar selepas PKP ekoran pandemik Covid-19.

Projek Lebuh Raya Pan Borneo pada awalnya dianggar sekitar RM16.488 bilion kini siap hampir 50 peratus. Keseluruhan projek melibatkan pembinaan 115 jambatan, 25 persimpangan tinggi, tiga kawasan rehat dan perkhidmatan serta enam tempat awam.