KUCHING: Pergerakan lalu lintas di lebuh raya Pan Borneo kini berubah menjadi sedikit lengang susulan hari keempat Sekatan Jalan Raya(SJR) di Kilometer 73, Jalan Sri Aman-Kuching.

Tinjauan Suara Sarawak ke lokasi operasi yang terletak di antara kawasan sempadan Zon 1 dan Zon 2 itu turut mendapati aktiviti lalu lintas tidak semeriah seperti biasa.

Operasi melibatkan seramai lima anggota termasuk seorang pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Sri Aman dengan modus operandi dilaksanakan secara statik 24 jam tanpa henti.

Penyelianya, Ins Elida Asfarinna Othman berkata, tindakan sempena Op Covid-19 bagi memastikan pergerakan keluar masuk kenderaan di antara kedua-dua zon dalam keadaan terkawal.

Tambahnya, setiap kenderaan yang melintasi SJR akan diminta untuk mengeluarkan permit pergerakan serta mematuhi prosedur operasi standard(SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP).

“Kawalan hari keempat SJR mendapati majoriti kenderaan yang keluar masuk mempunyai kepentingan termasuk menghantar barangan keperluan serta perkara kerja yang tidak dapat dielakkan.

“Pergerakan akan mulai berkurangan setelah memasuki waktu malam selepas sekitar jam 10,” dedahnya lagi.

Terdahulu, pengoperasian SJR di kedua-dua lokasi turut diperiksa oleh pasukan pemantau yang diketuai ASP Ritchie Jarit.