KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (Amanah) mencadangkan Pakatan Harapan (PH) serta Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggunakan logo Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Pengarah Komunikasi Amanah Khairuddin Daud berkata penggunaan satu logo itu sebagai tanda kesatuan semua parti yang menyokong kepimpinan Warisan di Sabah.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Warisan tetap bertahan mempertahankan mandat (PRU14) rakyat Sabah sehingga DUN dibubarkan meskipun terdapat tekanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ketua Pemuda Amanah Nasional itu, cadangan tersebut juga bagi menunjukkan solidariti parti-parti sekutu Warisan dalam mempertahankan mandat yang diberikan oleh rakyat Sabah pada pilihan raya umum lalu, sekali gus menolak pemimpin politik yang tidak berprinsip.– BERNAMA