BINTULU: Tindakan cuai seorang wanita berusia 29 tahun membawa padah setelah kenderaan dipandunya merempuh seorang wanita warga emas di kawasan lampu isyarat berhadapan Paragon, hari ini.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 6 pagi itu mengakibatkan mangsa, 74 tahun meninggal dunia serta- merta di lokasi.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan membabitkan seorang pejalan kaki dan sebuah kenderaan jenis Myvi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca setelah kenderaan tersebut melanggar lampu isyarat lalu merempuh mangsa yang melintas dari sebelah kiri hendak ke kanan jalan.

“Kemalangan berlaku semasa sebuah kenderaan Myvi bergerak dari arah depan Paragon menuju ke Kampung Baru.

“Akibat kejadian, mangsa dikenali sebagai Sindol Pasai, 74, yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki maut di lokasi kejadian,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pemandu Myvi tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Susulan itu, katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Bintulu untuk tindakan siasatan lanjut dilakukan.

Ujarnya, kes kini masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

TERDAMPAR: Mayat mangsa seorang warga emas berusia 74 tahun masih terdampar di atas jalan raya akibat dilanggar kenderaan Myvi