KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) menetapkan hanya 50 individu dibenarkan dalam satusatu masa untuk masuk ke dalam pasar basah Bandar Riyal di sini sebagai langkah mencegah penularan Covid-19.

Pada masa sama Pengerusi MPKS Datuk Peter Minos berkata, setiap orang harus mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal, mengambil suhu badan dan merekodkan maklumat peribadi.

“MPKS mahu memastikan pasar basah Riyal bebas daripada jangkitan Covid-19,” katanya selepas perbincangan bersama-sama jawatankuasa peniaga pasar basah Bandar Riyal mengenai langkah memerangi Covid-19 di sini, semalam.

Selain itu, beliau berkata MPKS akan turut meningkatkan kakitangan penguat kuasa untuk memantau di pasar basah berkenaan terutama di laluan masuk dan keluar.

Beliau menambah penghadang besi akan turut diletakkan di sekeliling pasar basah berkenaan bagi memastikan tiada orang masuk di laluan tepi atau belakang.

Minos menegaskan, penjaja dari luar dilarang untuk berjual di pasar basah Bandar Riyal.

“MPKS tidak mahu mana-mana penjaja luar masuk ke sini.

“Kami tidak mahu berlaku jangkitan Covid-19 di pasar basah ini kerana menyebabkan tempat ini ditutup selama 14 hari dan menjejaskan peniaga,” katanya.

Beliau berkata, MPKS juga memberi peringatan kepada kontraktor agar sentiasa memastikan tandas, lantai dan parit di pasar basah berkenaan bersih sepanjang masa.