KUCHING: Lapan kes baharu Covid-19 pulih dan dibenarkan didiscaj dari Hospital Umum Sarawak (HUS), semalam.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang pulih dan dibenarkan didiscaj seramai 607 orang atau 89.53 peratus.

Menurutnya, tiada kes positif Covid-19 dilaporkan semalam dan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri ini kekal sebanyak 678 kes.

“Terdapat sepuluh kluster Covid-19 yang masih aktif di negeri ini.

“Ini termasuk Kluster Syarikat Kejuruteraaan (lapan), Kluster Mambong (tujuh), Kluster Pusat Perubatan (tiga), Kluster Jupiter (tiga), Kluster Pasar Stutong (tujuh), Kluster Jeti Kuching (dua), Kluster Sentosa (31), Kluster PUI Melbourne (dua), Kluster Syarikat Pembinaan Kuching (dua) dan Kluster Pasar Satok (empat),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, semalam.

Tambahnya, seramai 52 individu masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital dan jumlah kematian kekal 19 orang atau 2.80 peratus.

“Selain itu, sebanyak empat PUI baharu dilaporkan dan tiga kes masih menunggu ujian makmal,” jelasnya.

Uggah juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, rakyat perlu belajar dari kesilapan negara lain supaya tidak berlakunya gelombang lebih besar di negara ini.

“Hari ini (semalam) kita tiada kes baharu direkodkan namun ia tidak bermakna kita telah menang.

“Keadaan kita masih tidak stabil lagi seperti yang kita inginkan. Justeru saya menggesa rakyat Sarawak agar terus mematuhi SOP di mana-mana sahaja,” tegasnya.

Beliau memberitahu, usaha polis memperketatkan pemantauan bukan sekadar suka-suka tetapi ia perlu untuk memastikan rakyat patuh dan mengikuti SOP.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada rakyat yang berjaya mengikuti segala SOP.

“Bagi yang masih degil, saya nasihatkan supaya memberikan kerjasama sepenuhnya,” ujarnya.