KUCHING: Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Mambong menyokong agar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mambong Datuk Dr Jerip Susil dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) nanti.

Ia terdiri daripada Persatuan Biannah, Persatuan Pebiya, Persatuan Biperoh, Persatuan Braang, Persatuan Segu Bunuk, Persatuan Bisitang, Persatuan Warisan Bung Sentah, Persatuan Sentah Asar, Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Cawangan Penrissen, Siburan dan Padawan, Persatuan Orang Ulu Siburan termasuk Persatuan Wanita Mambong.

Menurut jurucakap mereka, Timbalan Presiden Persatuan Biperoh Penghulu Richard Daho, sokongan kepada Jerip itu adalah resolusi yang dipersetujui bersama semasa mesyuarat cadangan pembangunan pertanian dan kursus pertanian jangka pendek bagi Dun Mambong, semalam.

Katanya ia untuk memastikan kesinambungan dan pelaksanaan cadangan pembangunan pertanian dan kursus pertanian jangka pendek bagi Dun Mambong.

Beliau berkata resolusi itu telah dibaca secara beramai-ramai oleh presiden dan pengerusi persatuan yang hadir dihadapan Jerip, yang juga merupakan Menteri Muda Pengangkutan.

“Kami menyokong penuh Jerip untuk memastikan kesinambungan dan pelaksanaan cadangan pembangunan pertanian dan kursus pertanian jangka pendek bagi Dun Mambong.

“Kami meminta agar kepimpinan tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) memandang serius permintaan kami ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, Richard berkata cadangan pembangunan pertanian dan kursus pertanian jangka pendek bagi Dun Mambong amat penting, yang menetapkan projek tanaman kopi sebagai tanaman utama.

Katanya projek berkenaan mensasar menjadikan Dun Mambong sebagai “Coffee Belt” di Kuching dan Sarawak amnya.

Beliau menambah Jabatan Pertanian Bahagian Kuching telah bersetuju untuk melaksanakan kursus pertanian jangka pendek yang memfokuskan kepada tanaman kopi selain tanaman lain seperti tanaman fertigasi, ternakan dan sebagainya.

“Jabatan Pertanian juga akan menjadi tulang belakang utama dalam melaksanakan kursus tersebut dengan kerjasama persatuan yang terlibat,” katanya.