SAMARAHAN: Dua pemilik premis iaitu kedai serbaneka dan bengkel kereta di sini dikompaun kerana didapati gagal menyediakan buku maklumat pelanggan di premis masing-masing.

Turut dikompaun tiga individu yang merupakan pelanggan kedai makan kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika duduk makan di dalam premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata kompaun RM1,000 ke atas semua individu terbabit dikeluarkan dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan di sini, semalam.

“Kompaun dikeluarkan kerana pemilik premis dan individu terbabit gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata setakat ini, IPD Kota Samarahan telah mengeluarkan sebanyak 132 kompaun atas kesalahan mengikut Perkara 10, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan jangkitan).

Anggota IPD Kota Samarahan menjalankan pemantauan pematuhan SOP PKPP ke atas premis-premis perniagaan di Kota Samarahan.

Katanya sebanyak 61 kompaun dikeluarkan dalam tempoh PKP, 43 kompaun dalam tempoh PKPB dan 28 kompaun dalam tempoh PKPP.

Sudirman menambah IPD Kota Samarahan juga telah menubuhkan Task Force khusus bagi membuat pemantauan terhadap pematuhan SOP PKPP.

Katanya Task Force ini turut melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).

“IPD Kota Samarahan akan mengambil tindakan tegas kepada masyarakat yang masih ingkar untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurut Sudirman, antara kesalahan yang lazim dilakukan berdasarkan pemantauan yang dijalankan oleh IPD Kota Samarahan ialah tiada penjarakan fizikal dan premis perniagaan gagal menyediakan alat pengimbas suhu serta buku maklumat pengunjung/pelanggan.

Selain itu, beliau berkata pemeriksaan di premis-premis perniagaan juga mendapati ada pelanggan tidak merekodkan maklumat yang tepat tentang butiran serta maklumat diri yang diperlukan seperti nama penuh, nombor telefon dan bacaan suhu badan di dalam buku maklumat yang disediakan.

Sementara mengenai larangan merentas antara Zon 1 dan Zon 2, Sudirman berkata Balai Polis Kota Samarahan telah meluluskan sebanyak 546 permohonan permit pergerakan sejak 1 Ogos lalu.

Manakala, katanya 27 lagi permohonan tidak diluluskan disebabkan tujuan bukan atas urusan rasmi kakitangan kerajaan, perkhidmatan penting, kematian keluarga terdekat, melawat keluarga sakit tenat dan untuk perubatan.