KUCHING: Baru-baru ini Petronas menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Kerajaan Sarawak berhak mengutip cukai jualan bagi produk petroleum.

Berita ini pasti menggembirakan hati rakyat Sarawak apatah lagi bagi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang selama ini berusaha keras memperjuang hak Sarawak.

Malah ini hadiah hari jadi beliau yang sungguh bermakna – kerana kebetulan hari jadinya jatuh semalam – 4 Ogos.

Hari Jadi Abang Johari 4 Ogos 2020

Idea menuntut hak berkenaan dicetuskan oleh beliau setelah menjadi Ketua Menteri.

Bagaimanapun, pada masa yang sama Kerajaan Sarawak juga menarik balik rayuan balas berhubung isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi terhadap SST.

Tiga hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Mohd Sofian Abd Razak sebulat suara membatalkan rayuan Petronas dan rayuan balas Kerajaan Sarawak serta memerintahkan setiap pihak menanggung kos guaman masing-masing.

Petronas diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala Pegawai Undang-Undang Negeri Datuk Seri JC Fong mewakili Kerajaan Sarawak.

Terdahulu, Pengawal Cukai Jualan Sarawak turut mengesahkan rayuan itu ditarik balik. Prosiding mahkamah dijalankan menerusi sidang video.

Foto Bernama

Peguam Petronas Alvin Chong menghadiri prosiding itu memohon rayuan supaya ditarik balik manakala Kerajaan Sarawak dan Pengawal SST Sarawak diwakili Peguam Besar Negeri Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid.

Fong berkata, berikutan penarikan balik rayuan itu, keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan. Pada 13 Mac tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan Perkara 95B (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak dibenarkan menggubal undang-undang untuk mengenakan cukai jualan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Azhahari Kamal Ramli, berkata peruntukan itu menetapkan bahawa mana-mana cukai jualan dikuatkuasakan oleh undangundang negeri disifatkan sebagai antara perkara yang ditetapkan dalam senarai negeri, Ordinan Cukai Jualan Negeri dan manamana perundangan tambahan disenaraikan di bawahnya adalah berperlembagaan dan sah.

Beliau menolak permohonan semakan kehakiman oleh Petronas untuk membatalkan notis penilaian dikeluarkan Kerajaan Sarawak memohon syarikat itu membayar SST berjumlah RM1.3 bilion.

Petronas turut memohon antara lain pengisytiharan bahawa bahagian notis itu adalah ultra vires pada Perlembagaan Persekutuan sebagai batal dan tidak sah.

Ia juga merupakan perintah certiorari – iaitu perintah mahkamah yang mengetepikan keputusan yang dibuat oleh mahkamah yang lebih rendah – bahawa notis bertarikh 28 Ogos 2019, 7 Oktober 2019 dan 13 November 2019 dikeluarkan Kerajaan Sarawak kepada Petronas dibatalkan.