BALINGIAN: Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Balingian menjayakan Program On The Go Community baru-baru ini.

Menurut jurucakap program, Che Ghazali Arbi ia merupakan tema aktiviti Pemuda PBB tahun ini yang bergabung dengan Wanita PBB.

Katanya, aktiviti Pemuda On The Go (OTG) membabitkan pemuda dan pemudi dalam program kemasyarakatan. “Konsep tersebut adalah untuk memupuk semangat kerjasama dalam kalangan Pemuda,” ujar Che Ghazali.

“Ia membabitkan aktiviti gotong-royong, riadah dan menyampaikan informasi terkini kepada masyarakat,” katanya. Menurutnya lagi, ia juga melibatkan Konvoi Bermotosikal Kibar Bendera Sarawak ke kampung-kampung sekitar Balingian.

“Turut diadakan ialah aktiviti gotong-royong membersihkan tebingan sungai di kawasan pasar lama, Balingian,” ujarnya.

Manakala pengisian Wanita PBB pula membabitkan demonstrasi memasak, zumba dan gotong-royong.

Setiausaha Politik Ketua Menteri, Faridah Osman bangga dengan penglibatan semua pihak dalam menjayakan program tersebut.

“Sebagai seorang anak Sarawak, kita harus bangga dengan Sarawak dengan keharmonian daripada kepelbagaian latar belakang, kaum dan agama,” ujarnya.

Program On The Go Community Pemuda N.58 Balingian turut dilaksanakan oleh Pemuda Ranting Kampung Sau di Dewan Serbaguna Kampung Sau, Pemuda Ranting Kampung Temesu/Bayan Ulu di Dewan Serbaguna Rumah Kalang, Pemuda Ranting Kampung Pulat.

Aktiviti yang diadakan ialah memotong rumput di sekitar balai raya, membersihkan surau dan mengecat gelanggang Serbaguna.

Turut hadir Kaunselor Sameon Yusuf, Jawatankuasa PBB Cawangan Balingian, Amiey Kaliew, Ketua Wanita PBB Balingian, Mohd. Taib Biak Timbalan Ketua Pemuda PBB Balingian dan ketua-ketua ranting PBB.