SKUAD Sarawak United FC belum ada perancangan untuk aksi persahabatan kerana sukar untuk melakukan pergerakan keluar masuk sepanjang PKP sehingga 14 Ogos ini.

Pemain tengah SUFC, Asri Chuchu berkata, mereka hanya menjalani latihan seperti biasa sekarang ini. “Setakat ini, kami hanya melakukan aksi persahabatan sesama sendiri untuk menilai prestasi dan keserasian pemain.

“Agak sukar untuk mengadakan aksi persahabatan sekarang ini, dalam keadaan Covid-19 yang kembali membimbangkan,” kata Ashri.

Sebelum ini, beliau menjelaskan bahawa kombinasi pemain SUFC semakin serasi dan bersedia untuk beraksi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pasukan Liga Super dan Liga Premier dibenarkan mengadakan aksi persahabatan sebagai persiapan sebelum mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) yang kembali disambung pada 26 Ogos ini.

“Pasukan hanya dibenarkan untuk mengadakan perlawanan antara pasukan Liga Super dan Liga Premier apabila pegawai serta pemain pasukan telah menjalani ujian swab serta disahkan bebas gejala dan mendapat kelulusan MFL.

“Ataupun mereka juga boleh beraksi dengan pasukan yang sudah bertemu semasa perlawanan di peringkat awal Liga M sebelum semua aktiviti perlawanan ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19,” ujarnya.

Beliau turut mengesahkan beberapa pasukan telah menghantar permohonan dan makluman mengenai aksi persahabatan.

Antaranya ialah Selangor menentang Pulau Pinang, UiTM FC menentang Pulau Pinang, dan Kelantan United menentang Terengganu FC II.

Jelasnya, perlawanan hanya dibenarkan dalam stadium atau tempat perlawanan yang didaftarkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta hendaklah menjalani proses nyahkuman sebelum perlawanan.

“Hanya pegawai dan pemain pasukan yang telah melakukan ujian swab sahaja dibenarkan berada di dalam stadium atau tempat perlawanan. Penonton tidak dibenarkan masuk,” tegasnya.