KUCHING: Sepuluh kes baharu Covid-19 pulih dan dibenarkan discaj dari hospital semalam.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), sembilan kes adalah dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dan satu kes dari Hospital Bintulu.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini (semalam) ialah 617 orang atau 91.00 peratus.

“Manakala 42 lagi masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital, dan jumlah kematian kekal 19 orang atau 2.80 peratus,” jelas JPBN.

Katanya, sebanyak empat individu bawah siasatan (PUI) baharu dilaporkan dan satu kes masih menunggu ujian makmal.

JPBN turut memaklumkan tiada kes positif Covid-19 dilaporkan di negeri ini dengan jumlah kekal sebanyak 678 kes.

Tambahnya, terdapat 10 kluster Covid-19 masih aktif iaitu Kluster Syarikat Kejuruteraaan (lapan), Kluster Mambong (tujuh), Kluster Pusat Perubatan (tiga), Kluster Jupiter (tiga), Kluster Pasar Stutong (tujuh), Kluster Jeti Kuching (dua), Kluster Sentosa (31), Kluster PUI Melbourne (dua), Kluster Syarikat Pembinaan Kuching (dua) dan Kluster Pasar Satok (empat).

Sementara itu, empat daerah iaitu Kuching, Serian, Lundu dan Samarahan masih mencatatkan status kawasan kuning.