KUCHING: Keprihatinan Kerajaan Sarawak kepada rakyat terus terserlah bukan sahaja dalam aspek program pembangunan, tetapi turut mengambil berat kebajikan rakyat terutama golongan warga emas.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pengenalan Kad Kenyalang Emas (KGC) menjadi bukti tumpuan turut diberikan kepada golongan yang berusia 60 tahun ke atas.

Malah menurutnya, KGC bukan hanya sekadar kad sebaliknya langkah bijak diambil Kerajaan Sarawak untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga emas yang pernah berkorban membangunkan negeri ini.

“Ia (KGC) merupakan manifestasi Kerajaan Sarawak dalam menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira usia dan latar belakang.

“Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sentiasa prihatin terhadap keperluan semasa masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan KGC kepada beberapa orang warga emas dari Dun Pantai Damai semalam. Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM24.4 juta untuk mewujudkan KGC yang memberi manfaat kepada hampir 16 peratus, bersamaan 530,000 orang warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas.

Antara manfaat yang dinikmati oleh pemegang kad itu ialah rawatan di klinik dan juga hospital, diskaun penerbangan dan pengangkutan awam, perlindungan insurans, serta bantuan khairat kematian yang disediakan berjumlah RM3,000.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, KGC juga melegakan pemegang kad kerana mereka akan menikmati diskaun untuk rawatan, pembelian ubat di farmasi dan membeli-belah.

“Kita sedia maklum kebanyakan golongan warga emas sudah tidak bekerja lagi.

Dengan adanya kad ini dapat juga meringankan bebanan mereka,” ujarnya. Beliau turut berterima kasih kepada Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak berusaha keras dalam membangunkan KGC.

Setakat ini, Dun Pantai Damai telah menerima 304 KGC untuk diagihkan kepada penerima.

Pemohon yang lulus boleh menghubungi Pusat Khidmat Adun N.4 Pantai Damai di talian 082-413124 untuk keterangan lanjut.