ULU SIMUNJAN: Bagi kebanyakan individu terutama golongan belia, media sosial seperti facebook digunakan untuk berbual dengan rakan atau kenalan, manakala Youtube hanya digunakan untuk menonton tayangan video yang memaparkan pelbagai kisah dan peristiwa.

Namun bagi Elliska Biku, 27, yang menggunakan media sosial itu untuk menimba ilmu dalam bidang pembuatan kek lapis di Kampung Gayau Padok, Ulu Simunjan.

Elliska yang mengusahakan premis membuat kek lapis, roti dan pastri di Kampung Gayau Padok di Ulu Simunjan berasal dari Kampung Lubuk Meranti, Sebangan, Simunjan.

Beliau mendapat ilmu dan kemahiran membuat kek lapis setelah menonton Youtube yang memaparkan cara membuat kek lapis dan produk kek sejak 2015.

Setelah menonton berulang kali video yang disiarkan Youtube, maka timbullah keinginannya untuk mencuba.

“Cubaan pertama membuat kek dan roti kurang berhasil, saya terus berusaha melakukannya sehingga berjaya.

“Kejayaan ini hanya dapat diukur apabila produk kek, roti dan pastri yang saya hasilkan menjadi tarikan penduduk setempat dan saya telah banyak menerima tempahan daripada orang ramai,” katanya kepada Suara Sarawak ketika ditemui di premisnya di Kampung Gaya Padok di sini.

Sejak itu, Elliska terus mengorak langkah dengan membuat kek lapis, roti dan pastri secara sedikit demi sedikit untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Dengan bantuan yang disediakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (Mintred) membolehkan Elliska menghasilkan produknya secara lebih agresif.

Antara bantuan yang disediakan oleh Mintred ialah peti sejuk, ketuhar, pengadun bahan kuih dan meja keluli.

”Pada tahun pertama ketika mula mengusahakan kerja membuat kek, saya tidak mampu memenuhi banyak tempahan dan permintaan pelanggan, kerana premis saya sempit, tiada pembantu dan tidak mempunyai peti sejuk yang mencukupi untuk menyimpan stok.

“Oleh itu saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak khususnya YB Datuk Mohd Naroden Majais (Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan) kerana banyak memberi dorongan dan membantu saya memajukan perusahaan kek lapis ini,” katanya.

Sejak menerima dan menggunakan bantuan itu pada awal tahun ini, Elliska kini boleh membuat kek lapis secara lebih aktif dan sedia menerima lebih banyak tempahan.

Sekarang ini, Elliska mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 10 unit kek sehari dengan harga antara RM55 dan RM78 satu.

Ada kek yang dijual pada masa itu juga, manakala selebihnya disimpan di dalam peti sejuk sebagai bekalan sedia ada.

Antara kek lapis yang dihasilkan ialah Almond London, Topper Cake, Fondant Cake dan bun. “Kesemua kek lapis ini ditempah orang ramai untuk meraikan hari jadi, hari ulang tahun perkahwinan, selain untuk meraikan pasangan pengantin dan musim perayaan seperti Hari Gawai, Krismas, Tahun Baharu Cina dan Hari Raya,” katanya .

Menurut Elliska, sekarang dia banyak mendapat tempahan kek lapis daripada penduduk di Serian, Samarahan dan Gedong selain penduduk setempat di Ulu Simunjan.

Dengan pendapatan sekitar RM500 sehari, Elliska kini dibantu dua orang pembantu.

Menurut Elliska, kesan daripada harga bahan dan ramuan kek lapis yang agak mahal, hasil perolehan hanya mampu untuk membayar gaji dua pembantunya, sebagai modal pusingan dan menampung keperluan dapur.

Elliska mengucapkan terima kasih kepada mereka yang banyak membantu dan mendorongnya untuk berjaya dalam industri kek lapis di Ulu Simunjan.

Mereka ialah suaminya Keko, ibu, bapa dan saudara-mara di Demak Laut, ibu saudara Sherillin Lepan dan Adun N.26 Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais.

Baru-baru ini, Naroden mengadakan lawatan ke premis kek lapis Elliska di Kampung Gayau Padok.

ELLISKA memerhati kek lapis yang dibakar dalam ketuhar.

 

BERI PENERANGAN… Elliska menyatakan sesuatu kepada Naroden

 

Antara kek lapis yang dihasilkan oleh Elliska.