BINTANGOR: Kaunselor Halmi Morsili dipilih menerajui Saberkas Daerah Meradong dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan Saberkas Meradong di sini, baru-baru ini.

Halmi, 47, pernah menyandang jawatan penting, seperti Ketua Pemuda PBB N.46 Meradong, Penolong Bendahari Pemuda Negeri Sarawak dan Penasihat Club Beat Team Bintangor.

Pemilihan beliau dicadangkan Qalam Iko dan disokong Roziman Rapiee sebelum dipersetujui sebulat suara oleh semua ahli yang hadir.

Halmi bakal memimpin Saberkas Meradong dalam tempoh tiga tahun bermula 2020 hingga 2022.

Pengerusi melantik Qalam Iko sebagai Setiausaha sebelum cadangan dibuka bagi pemilihan jawatan Timbalan Pengerusi I yang disandang Ley Chee Hua dan Timbalan Pengerusi II, Dominic Amor.

Dalam pada itu, Shafiq Abdullah menyandang jawatan Timbalan Setiausaha I manakala, Amirul Shafiq sebagai Timbalan Setiausaha II.

Sementara jawatan bendahari pula disandang Dayang Zainuriah dan dibantu Kaunselor Ting Siew Ung (Timbalan Bendahari) selain Ting Kai Siang dan Mohd Anif yang masing-masing memikul tanggungjawab Audit Dalaman I dan Audit Dalaman II.

Bagi memperkukuhkan lagi peranannya seramai 12 orang ahli jawatankuasa turut dilantik.

Sehubungan itu Halmi berkata, kepercayaan dan sokongan tiga wakil rakyat Daerah Meradong iaitu Adun Semop, Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab dan Adun Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing merupakan platform terbaik untuk belia Meradong menjalankan aktiviti.

Setakat ini katanya, sembilan unit Saberkas yang ditubuhkan di Meradong terdiri daripada tujuh Unit Belia Kaum Melayu mulai zon satu hingga enam Kampung Melayu Bintangor dan zon tujuh (Pasar Bintangor, satu unit belia kaum Iban, Sungai Sian dan satu unit belia kaum Cina Meradong.

“Terima kasih kepada setiap ketua unit dan ahli Saberkas Meradong atas kepercayaan kepada saya untuk menerajui Meradong.

“Saya juga amat menghargai usaha Qalam Iko, sebagai pengerusi tahun 2018-2020 yang berjaya menggerakkan unit-unit Saberkas Meradong dengan cemerlang,” katanya.

Beliau berharap kerjasama semua pihak bagi membolehkan penganjuran lebih banyak program dan aktiviti tahun depan.