KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Komptroller Cukai Jualan Negeri menarik balik tuntutan saman terhadap Petronas untuk mengutip cukai jualan negeri (SST) bagi tempoh Januari hingga Jun 2019 yang berjumlah hampir RM1.3 bilion termasuk denda pembayaran lewat dan faedahnya.

Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, Petronas juga menarik balik tuntutan balasnya terhadap Kerajaan Sarawak dan Komptroller Cukai Jualan Negeri yang mengenakan SST terhadap produk petroleum digali di negeri ini dalam tempoh tersebut.

“Petronas telah menulis surat pengesahan untuk membayar SST oleh tujuh anak syarikatnya termasuk Petronas Carigali Sdn. Bhd yang secara langsung terlibat dalam jualan produk petroleum di Sarawak.

“Anak-anak syarikat ini dikenal pasti oleh Petronas yang sedang dalam proses pendaftaran dengan Komptroller sebagai pihak membayar SST kepada Kerajaan Sarawak,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Hasidah yang juga Adun Samariang, proses pendaftaran dijangka selesai pada 15 Ogos ini.