MERUJUK Kamus Dewan Edisi keempat, perkataan moratorium membawa maksud penggantungan atau penangguhan sesuatu kegiatan secara persetujuan bersama.

Dalam konteks di Malaysia, moratorium merujuk kepada penangguhan pembayaran selama enam bulan, bagi pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap secara automatik.

Inisiatif ini bertujuan untuk memberikan bantuan dan lebihan tunai kepada individu mahupun ahli perniagaan, yang menghadapi kekangan kewangan berikutan pandemik Covid-19.

Dalam bahasa mudah, moratorium merupakan cuti pembayaran hutang, yang dilaksanakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), bermula 1 April 2020 sehingga 30 September 2020.

Bagi marhaen, moratorium merupakan satu langkah penting yang telah diambil oleh pihak kerajaan dalam meringankan beban rakyat. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, pandemik Covid-19 telah memberi impak yang cukup besar, kepada sektor ekonomi dan pendapatan individu di negara ini.

Dalam laporan Sekretariat dan Jawatankuasa Khas DOSM Menangani Covid-19 Bil. 53/2020, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyatakan lebih 30,000 orang dalam industri perhotelan di seluruh negara kehilangan pekerjaan, lebih 10,000 dicutikan tanpa gaji dan lebih 6,000 pekerja dipotong gaji ekoran aktiviti perniagaan industri yang menguncup.

Senario yang sama turut berlaku kepada mereka yang bekerja di sektor penerbangan. Terdapat beberapa buah syarikat penerbangan tempatan mahupun dunia, telah mengambil langkah pengecilan tenaga kerja. Tindakan ini sudah tentu memberi impak kewangan yang cukup besar kepada pekerja yang diberhentikan.

Sehubungan itu, tindakan Kementerian Kewangan Malaysia melaksanakan moratorium secara automatik selama enam bulan, sudah tentu dapat meringankan beban emosi dan kewangan bagi golongan yang terjejas teruk.

Hal ini kerana, dalam situasi pandemik yang sedang kita hadapi kini, sebarang perubahan mendadak dalam kehidupan seseorang, boleh mengundang kepada masalah-masalah lain seperti kesihatan, hubungan rumah tangga dan sebagainya.

Oleh itu, manfaatkan sepenuhnya pemberian moratorium selama enam bulan ini, untuk kita mengurus beban hutang yang kita hadapi, seperti hutang kad kredit, tunggakan bil utiliti, sewa rumah dan hutang dengan kawan atau keluarga sebelum berakhirnya September ini.

Hal ini penting kerana selepas tamatnya tempoh moratorium, kita tidak lagi mempunyai lebihan tunai untuk menyelesaikan hutang-piutang keliling pinggang, yang selalunya menjadi pilihan terakhir untuk dilunaskan.

Di sisi yang lain, moratorium bukan bermaksud kita boleh lari daripada membayar hutang. Setiap daripada kita yang bergelar peminjam, dipertanggungjawabkan untuk melunaskan hutang, walaupun tidak dituntut.

Justeru, usah berimpian untuk lari daripada hutang, walaupun situasi kewangan kita terjejas akibat Covid-19. Langkah terbaik adalah berbincang dengan pihak bank atau pemberi pinjaman bagi tujuan penyusunan semula jumlah bayaran bulanan.

Selain itu, bagi mereka yang tidak terkesan akibat Covid-19, moratorium sudah tentu memberi lebihan tunai kepada golongan ini. Justeru, manfaatkan lebihan tunai yang ada untuk tujuan pelaburan seperti membeli emas atau meningkatkan jumlah simpanan.

Walaupun harga emas sekarang ini meningkat dengan mendadak, namun inilah peluang yang ada untuk berbelanja bagi tujuan pelaburan jangka panjang. Tambahan pula, membeli emas tidak pernah merugikan, kerana harga logam bernilai ini tidak pernah jatuh, walaupun ketika dunia dilanda bencana.

Paling penting, emas adalah salah satu daripada beberapa barang yang boleh mengekalkan nilainya semasa kemelesetan ekonomi.

Selain memanfaatkan moratorium bagi tujuan pelaburan, lebihan tunai yang ada perlu digunakan untuk menggerakkan rantaian ekonomi domestik.

Sokongan kita kepada para peniaga tempatan pada waktu sukar ini amat penting, khususnya ketika indeks perdagangan borong dan runcit jatuh ke paras – 6.1 peratus pada Mac, berbanding 5.4 peratus pada Februari lalu, seperti yang dilaporkan oleh Bank Negara Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Di samping itu, dalam situasi negara yang masih berperang dengan Covid-19, perjuangan ini pastinya memerlukan sejumlah dana dan sumber kewangan yang besar.

Sehubungan itu, sebagai rakyat Malaysia, inilah masa yang paling sesuai untuk kita membantu negara, dengan menyalurkan sedikit lebihan tunai yang ada, ke dalam Tabung Covid-19.

Selain itu, sebagai sebuah masyarakat prihatin dan penyayang, Covid-19 tidak seharusnya mengurangkan sedikit pun nilai kebaikan kita selama ini.

Amalan berkongsi rezeki, walaupun sekadar sekeping pelitup muka, sudah pasti dapat membebaskan komuniti kita daripada dijangkiti Covid-19.

Tambahan pula, ia dapat mengelakkan golongan kurang bernasib baik ini daripada dikompaun, ketika kerajaan mula mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam pada 1 Ogos lepas.

Justeru, berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah dirumuskan bahawa pentingnya pengurusan lebihan tunai semasa tempoh moratorium.

Keupayaan kita menstabilkan semula kewangan keluarga, merupakan satu langkah penting dalam mengharungi impak Covid-19 yang tidak terjangka selepas ini.

Dillah Tuah ialah ahli akademik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak

Sumber foto: Bernama