KEHADIRAN Ogos tahun ini cukup ironi dan sedikit berbeza, impak daripada pandemik Covid-19 yang mengancam jutaan populasi dunia ketika ini.

Di Malaysia, kedatangan bulan kelapan dalam kalendar Masihi mengingatkan kita tentang sambutan kemerdekaan negara.

Ya, setelah 31 Ogos setiap tahun diisytiharkan sebagai Hari Kebangsaan bagi bumi Malaysia.

Alhamdulillah, Malaysia yang kita diami ketika ini sudah menjadi ‘rumah’ yang berbeza berbanding 63 atau 57 tahun lampau.

Lebih penting rakyatnya hidup aman damai, permai dan sentosa… terima kasih Malaysia!

Bagaimanapun, di sebalik Ogos 2020 ada sesuatu yang menjadi budaya baharu rakyat Malaysia untuk mengekang penularan jangkitan Covid-19 iaitu arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka.

Bermula 1 Ogos lalu, masyarakat mula mengadaptasi kelaziman baharu dengan memakai pelitup muka ketika berada di dalam pengangkutan awam dan kawasan sesak.

Di peringkat awal ini, rakyat Malaysia dilihat memiliki disiplin yang tinggi. Ada sesetengahnya, bukan di tempat sesak pun tetap memakai pelitup muka.

Bagi penulis, ini sudah bagus dan ia hak individu, ditambah dengan arahan kerajaan yang sangat menggalakkan pemakaiannya sekarang ini.

Kita perlu meletakkan soal keselamatan lebih atas berbanding wang ringgit.

Daripada membayar denda RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sekiranya gagal mematuhinya, lebih baik pakai.

Bukannya susah, sukar… lebih-lebih lagi ia untuk manfaat bersama.

Kalau ditanya kepada rakyat, tindakan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka merupakan keputusan yang tepat.

Hal ini kerana rakyat dilihat tidak mengendahkan penjarakan fizikal.

“Saya akui terdapat sesetengah masyarakat tidak selesa menggunakan pelitup muka.

“Namun, bagi saya rasa itu harus dibuang demi keselamatan bersama.

“Saya menyokong tindakan mewajibkan pemakaian pelitup muka kerana kita tidak tahu orang di sekeliling dijangkiti atau tidak memandangkan ada kes positif tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Apa yang penting, kita jaga kita,” kata Fadreen Jingan Beriak.

Itu antara pendapat orang awam. Sungguhpun demikian, timbul isu tidak mampu untuk membeli pelitup muka.

Betul, dalam setiap individu atau keluarga tidak sama.

Malah ada yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Di pasaran, pelitup muka biasanya dijual pada harga antara RM1 dan RM1.50 sekeping.

Kalau di pasaran dalam talian, mungkin boleh didapati dengan harga lebih rendah… ada yang hanya 50 sen sekeping, tetapi bagaimana pula dengan tahap perlindungannya daripada sebarang jangkitan?

Tepuk dada, tanya selera… adakah tidak ada yang berasa terbeban dengan arahan mewajibkan pelitup muka?

Perkara ini dibangkitkan ekoran terdapat gesaan rakyat supaya harga pelitup muka yang disyorkan oleh kerajaan dijual dengan harga mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah.

Sedangkan mereka ini lebih berdisiplin dan menghargai pemakaiannya dengan betul. Bukannya mampu milik bagi kelas sederhana atau berpendapatan tinggi.

Fungsi dan peranan pelitup muka ketika ini sangat besar.

Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, sahutlah dengan ikhlas seruan kerajaan untuk memakai pelitup muka. Mungkin kesannya kita tidak nampak sekarang tetapi percayalah.

Jika mampu dan selesa memakai pelitup muka pakai buang jenis tiga lapis, teruskan.

Jika tidak mampu, gunakan pelitup muka fabrik sebagai alternatif.

Apa yang penting, kita tahu cara memakai, membuang dan menjaga pelitup muka. Ingat, pelitup muka adalah salah satu langkah pencegahan Covid-19 yang penting apabila penjarakan fizikal sukar dikekalkan… ambillah gesaan kerajaan ini sebagai tanggungjawab bersama.

Insya-Allah kita akan terhindar daripada sebarang jangkitan.

Dalam kesibukan kita fokus terhadap isu kelaziman baharu seperti kewajiban pemakaian pelitup muka tersebut, jangan kita lupa menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan dengan penuh semangat.

Kibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda sayang kita kepada negara.

Bersamalah kita berdoa agar menjelang 31 Ogos depan, negara akan bebas daripada wabak Covid-19.

Perjuangan kita hari ini untuk menentang musuh yang tidak kelihatan.

Tidak seperti wira negara suatu ketika dahulu yang mempertaruhkan nyawa di medan perang untuk melindungi tanah air.

Justeru, hargailah erti sebuah kemerdekaan dan kita juga harus menang menentang Covid-19.