ROBAN: Seorang buruh binaan berusia 54 tahun disahkan maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan ngeri dengan sebuah lori berhampiran kawasan Brayang dekat KM 91 Jalan Sarikei-Betong, lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Saratok Deputi Superintendan Mordani Tanin memberitahu, mangsa dikenali sebagai Yeong Chien beralamat di rumah panjang Angel, Kedoh Ulu, Sebelak.

“Hasil siasatan awal polis dan keterangan saksi, mangsa menunggang motosikal jenis Modenas Kriss semasa kejadian telah memasuki laluan sebelah lalu berlanggar dengan lori yang datang dari arah bertentangan (Sarikei).

“Difahamkan, pemandu lori berkenaan yang berumur 41 tahun cuba mengelak, namun gagal.

“Ekoran daripada insiden 5:15 petang itu menyebabkan penunggang motosikal parah pada kepala, dada dan kaki,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jelasnya, mangsa tertiarap di atas jalan dan disahkan maut pada 6:15 petang oleh Pembantu Pegawai Perubatan yang secara kebetulan melalui tempat kemalangan ketika dalam perjalanan ke Kuching.

Mayat dibawa ke Hospital Saratok untuk tindakan lanjut dan dijangka dibedah siasat hari ini.

Sementara, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Polis menyiasat lanjut kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.