SRI AMAN: Seorang pekerja kontraktor maut akibat motosikal yang ditunggangnya terbabas di jalan selekoh berhampiran Kilometer 13 Jalan Sri Aman-Sarikei, semalam.

Mangsa lelaki dikenali sebagai Melvin Randy Judy, 30, dan beralamat daripada Rumah Panjang(RH) Meluda, Kampung Ibol Baru, Undup, Sri Aman.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10.15 malam.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Hospital Sri Aman akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Sri Aman menuju ke Sarikei dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan.

“Akibat kejadian mangsa bersama motosikalnya bergesel dan melanggar penghadang jalan di sebelah kanan jalan lokasi kejadian,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, siasatan lanjut di lokasi turut mendapati keadaan jalan gelap dan jalan berselekoh.

Susulan itu, katanya, mayat mangsa telah dibawa ke rumah mayat Hospital Sri Aman untuk tujuan siasatan lanjut.

Beliau turut menggesa kepada mana-mana saksi kejadian untuk tampil bagi memberikan keterangan berkaitan kemalangan.

Ujarnya, kes masih lagi disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

ROSAK… kenderaan mangsa hancur di bahagian hadapan akibat kemalangan