BUTTERWORTH: Polis menasihati penyokong bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng, agar tidak berhimpun ketika proses pendakwaan Ahli Parlimen Bagan itu di Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini, minggu depan, bagi membendung penularan COVID-19.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, Lim, 59, dijangka didakwa di mahkamah itu pada Isnin dan Selasa depan.

“Hanya pihak yang berkenaan (mempunyai urusan) dengan mahkamah sahaja dibenarkan masuk ke dalam manakala yang lain tidak dibenarkan masuk ke kawasan perkarangan mahkamah. Orang ramai juga tidak dibenarkan berkumpul dalam keadaan bersesak di luar perkarangan mahkamah.

“Polis akan mengambil tindakan termasuk kompaun jika terdapat pihak yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan COVID-19,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Beliau berkata polis tidak akan menutup mana-mana jalan di kawasan mahkamah itu, namun pihaknya dijangka menempatkan 150 pegawai dan anggota polis untuk mengawal keadaan bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

Noorzainy turut berharap orang ramai tidak menimbulkan sebarang kekecohan termasuk mengadakan perhimpunan sepanjang prosiding berlangsung.

Hari ini, setiausaha agung DAP itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Lim juga dijadual di Mahkamah Sesyen Butterworth, Isnin ini, bagi kes lain.