KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mempunyai pelan jangka panjang untuk menempatkan peniaga kecil di Tebingan Kuching ke lokasi lebih strategik dan mempunyai kemudahan lengkap.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia sebagai usaha untuk memberi manfaat kepada semua pihak, termasuk peniaga dan pengunjung.

Menurutnya, Tebingan Kuching sejak 20 tahun lepas sentiasa menjadi tumpuan ramai terutama pelancong. “Kita mahu Tebingan Kuching kekal sebagai lokasi tumpuan ramai.

“Oleh itu, segala kemudahan perlu sentiasa ditambah baik agar ia terus relevan dalam kalangan masyarakat,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kad Kenyalang Emas Peringkat Dun N.4 Pantai Damai di sini, kelmarin.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, DBKU mula mengambil alih pengurusan Tebingan Kuching daripada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) sejak 1 Januari lalu.

Malah menurutnya, DBKU turut bertanggungjawab mengurus Air Pancut Berirama Darul Hana, Masjid Bandar Kuching dan Jambatan Darul Hana yang merupakan ikonik untuk bandar raya ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati peniaga supaya mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini.

“Kita dapati ada peniaga tidak mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan menyebabkan berlaku kesesakan dan beberapa masalah lain,” ujarnya.

Dr Abdul Rahman turut menggesa peniaga supaya sentiasa menjaga kebersihan di kawasan tersebut bagi mengekalkan status Kuching sebagai bandar raya bersih di Malaysia