TAHUN demi tahun, Sarawak berubah menjadi negeri yang bergerak ke arah kemajuan mengikut rentak dan tempo sendiri.

Antara yang menjadi tumpuan ialah pembangunan luar bandar, termasuk kawasan pedalaman.

Walaupun demikian, disebabkan status sebagai negeri terbesar di Malaysia, tidak menghairankan sekiranya proses membawa pembangunan ke pedalaman mengambil masa berbanding negeri lain.

Adun Telang Usan Dennis Ngau ketika ditemui untuk sesi wawancara dengan Suara Sarawak baru-baru ini berkongsi satu cogan kata iaitu The Last Frontier yang membawa maksud kawasan terakhir yang perlu diterokai dan diperhebatkan pembangunannya.

Dengan memegang cogan kata itu sebagai pembakar semangat, beliau berharap ia juga dapat menarik perhatian pemimpin untuk memberikan tumpuan kepada kawasan pedalaman, lebih-lebih lagi kawasannya – Telang Usan.

Dennis Ngau

Syukur katanya, sejak berkhidmat sebagai wakil rakyat, kerajaan sentiasa memberi sokongan padu dalam membangunkan kawasan yang dahulu hanya mampu dicapai menggunakan pengangkutan feri, kini mempunyai jambatan ikonik iaitu Jambatan Long Lama.

Selepas pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak akan membangunkan jalan raya pesisir pantai dan laluan utama kedua dengan kos RM11 bilion.

Bukan itu sahaja, pelbagai pelaksanaan projek infrastruktur dan kemudahan seperti kawasan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (Urda), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dengan peruntukan sebanyak RM4.5 bilion.

Selain itu, menara telekomunikasi juga sedang giat didirikan khususnya di luar bandar dan pedalaman bagi menyediakan liputan Internet.

Setakat ini, lebih 170 menara telah didirikan di seluruh negeri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam satu kenyataan memberitahu, Kerajaan Sarawak tekad melakukan intervensi menyediakan perkhidmatan melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dengan kemungkinan penyediaan subsidi agar kadar bayaran perkhidmatan tidak begitu tinggi.

Sementara itu, Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dalam perutusan sempena sambutan Gawai Dayak pada Mei lalu berkata, Kerajaan Sarawak yang menyasarkan untuk menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030, kini fokus program mengubah pembangunan luar bandar.

Katanya, inisiatif kerajaan untuk mengubah kawasan luar bandar sedang dilakukan melalui pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, kemudahan kesihatan serta pendidikan.

Di sini, kita dapat melihat kawasan pedalaman sentiasa mendapat perhatian Kerajaan Sarawak.

Mungkin sesetengah kawasan atau tempat belum lagi mendapat kemudahan pembangunan yang sama, namun kita harus faham bahawa segala kemajuan yang diimpikan itu memerlukan masa.

Keadaan ini amat bersesuaian dengan pepatah ‘Kota Rom bukan dibina dalam sehari’ yang digunakan untuk mengungkapkan kehebatan Kota Rom.

Keteguhan Collosseum bukannya mudah dibina hinggakan keunggulannya dikagumi hingga ke hari ini.

Dalam hal ini, mencipta sebuah tamadun yang kompleks memerlukan masa yang bukan sekejap untuk direalisasikan.

Untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri maju yang terkenal dengan kepelbagaian bangsa dan budaya seiring dengan pembangunan kotanya, masa yang diambil bukan sedikit.

Bukan sekadar pejam celik, pejam celik.

Bertitik tolak daripada analogi pepatah itu, sesuatu kejayaan bukan datang bergolek sendiri ke pangkuan kita, ataupun ibarat menunggu bulan jatuh ke riba.

Kejayaan memerlukan usaha dan kecekalan kerana ia sentiasa menuntut masa dan pengorbanan.

Sesungguhnya, kejayaan tidak semudah seperti kita memetik jari.

Segala-galanya ditentukan dan terhasil dengan tuntutan masa.

Sebagai rakyat, kita perlu bijak berfikir agar dapat melihat dengan jelas perkara yang membawa kebaikan kepada kesejahteraan rakyat.

Apa-apa yang bermanfaat dan mampu memberikan keselesaan kepada kehidupan kita, kita harus sokong dan terima dengan hati yang terbuka.