BETONG: Kerajaan Sarawak telah melunaskan bayaran RM9.3 juta sebagai pampasan kepada pemilik tanah yang terjejas akibat pembinaan Jalan Utama Kedua dari Betong menuju ke Sri Aman.

Adun Layar Gerald Rentap Jabu memberitahu, ia melibatkan pengambilan tanah sepanjang lebih 8.5 kilometer. “Pada Februari lalu, kerajaan melalui Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong telah membayar pampasan bagi tanah yang diambil untuk pembangunan jalan tersebut sejauh lebih enam kilometer iaitu dari Simpang Lidong ke Lebuh Raya Pan Borneo.

“Syukur juga kerana hari ini (semalam) kita dapat melakukan perkara yang sama ke atas 2.5 kilometer tanah seterusnya dari Simpang Lidong ke Simpang Tanjung Assam.

“Justeru, sehingga kini kerajaan dengan penuh komited sudah membayar RM9.3 juta sebagai pampasan kepada pemilik tanah yang terjejas,” katanya kepada Suara Sarawak, kelmarin.

Jelasnya, rancangan untuk membangunkan Jalan Utama Kedua Betong-Sri Aman akan membuka potensi kedua-dua bahagian khususnya Betong.

“Kita berharap proses seterusnya nanti berjalan lancar termasuk pembinaan jalan dan Jambatan Batang Lupar Kedua. “Kerana, kita mahu Bandar Betong terus terbuka dan dihubungkan dengan banyak tempat sekali gus akan membuka potensinya.

“Apabila potensi Betong dapat dikembangkan, saya yakin taraf hidup masyarakat akan lebih baik dan selesa,” ujarnya. Tambah Rentap, sekiranya Jalan Utama Kedua Betong-Sri Aman dapat direalisasikan kelak, ia turut memendekkan jarak perjalanan kepada 25 minit sahaja.

Beliau bagaimanapun berharap sokongan padu rakyat untuk bersama-sama Kerajaan Sarawak pimpinan GPS. “Dahulu pernah kecoh ekoran pemimpin Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang menolak pembinaan jalan, sedangkan rakyat sangat mengharapkannya.

“Jadi, janganlah kita terpengaruh dengan hasutan pihak seperti itu. Kerajaan GPS sentiasa berusaha untuk memastikan segenap pelosok negeri dihubungkan dengan akses jalan raya yang bagus.

“Walaupun kita berusaha secara berperingkat-peringkat, tetapi ia tetap dilaksanakan seperti yang sering disebut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tentang komitmennya untuk mengotakan apa-apa yang dijanjikan,” jelasnya.

Beliau turut berterima kasih kepada pemilik tanah yang terlibat dan ini membuktikan setiap tanah yang digunakan untuk pembangunan akan dibayar pampasan dengan adil.

Hadir sama Residen Bahagian Betong Friday Belik, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong Anthony Aboi, Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal dan Jurutera Bahagian JKR Bahagian Betong Chiresly Francis Kureng.