MIRI: Seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes menyerang seorang petani dalam satu kejadian yang berlaku di Simpang Bekenu di sini, 4 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah ketika ditemui baru-baru ini berkata, suspek berusia 42 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan dan kini dalam tahanan reman selama empat hari.

Menurutnya, sekitar jam 9 malam di hadapan Pasar Sayur Simpang Bekenu pada Selasa lepas, seorang petani tempatan yang berusia 25 tahun telah diserang dan ditetak oleh suspek menggunakan sebilah parang.

“Berdasarkan hasil siasatan, mangsa berusaha mengelakkan diri semasa diserang, namun gagal dan mengalami kecederaan di bahagian belakang sebelah kanan.

“Selepas kejadian, suspek bertindak melarikan diri, manakala mangsa dihantar ke klinik berhampiran untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya.

Beliau memberitahu, mangsa dilaporkan menerima lapan jahitan akibat tetakan tersebut. “Punca kejadian dipercayai berlaku kerana suspek menuduh mangsa mencuri bateri keretanya,” jelas Meng Seah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau manamana daripada hukuman itu.