KUCHING: Kepakaran membuat kuih dan biskut menjadi titik permulaan bagi Muhammad Afiq Ahmad memperkenalkan produk jenama Zaafi.

Beliau yang berasal dari Kampung Bako, di sini optimis mampu menembusi pasaran luar negara sekiranya terus berusaha.

Pemuda berusia 28 tahun itu memperkenalkan produk buatannya seperti kuih gunting asli, acar timun manis, biskut batang buruk dan tart nanas.

Mengakui kebolehan membuat produk tersebut diperoleh daripada ibunya, beliau berkata, pada awalnya dia hanya membuat kuih dan biskut pada Hari Raya.

“Hanya pada Hari Raya saya berani buat biskut dan kuih-muih.

“Apabila kawan-kawan dan saudara berkata kuih dan biskut saya sedap, saya terfikir untuk menjualnya,” kata Afiq kepada Suara Sarawak, semalam.

Jelasnya, sejak dua tahun lalu, dia menjalankan perniagaan menjual secara dalam talian dan bersemuka.

“Saya menyertai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sejak tahun 2018. Agensi ini banyak membantu saya dari sudut promosi produk.

“Sebab itu, saya bercadang untuk mendapatkan sijil HACCP (Hazard Analysis Critical Control Point) kerana ingin meluaskan perniagaan ke luar negara.

“Saya ingin berusaha memperluaskan produk jenama Zaafi ke seluruh Malaysia, Brunei, Indonesia dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut berharap produknya dikenali orang ramai.

Selain itu, beliau turut menasihati usahawan lain supaya jangan berputus asa dalam menghadapi cabaran meskipun ditimpa musibah.

“Jangan mudah putus asa dan cepat mengalah. Kita kena kuat jika ingin mencapai sesuatu kejayaan,” katanya.