OYA: Persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) yang akan datang dibincangkan semasa Program Ziarah di Kampung Balan, Dalat kelmarin.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah yang menghadiri program tersebut berkata, penerangan berhubung lambang GPS harus dijelaskan kepada penduduk kampung, terutama warga emas.

“Selain itu, tujuan program ini adalah untuk membincangkan projek-projek pembangunan bagi kampung tersebut selain mendengar isu dan permasalahan yang dihadapi penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Program tersebut turut menyaksikan penyampaian cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Dalat Tahun 2020 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Balan, Dalat bagi projek baik pulih titian belian di Kampung Balan Seberang, Dalat berjumlah RM5,000 projek bina pangkalan serta jeti di kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Balan (RM30,000) projek menyimen perkarangan Masjid An-Nur, Kampung Balan (RM19,000) dan kelengkapan dapur Wanita JKKK Kampung Balan (RM2,000).

Turut disampaikan ialah Sijil Perakuan Pendaftaran JKKK dan Sijil Pelantikan Setiausaha JKKK Kampung Balan dan Daftar Pemilih Suku Tahunan Keempat.

Hadir sama ialah Jawatankuasa Kampung Balan, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid An-Nur, Kampung Balan, Wanita dan Beliawanis Ranting Kampung Balan.

Untuk rekod, sebelum ini program yang sama telah dijalankan di lapan buah kampung dalam kawasan Dalat iaitu Kampung Baru, Kampung Baru Cina, Taman Ceria Dalat, Kampung Brunei, Kampung Boom, Kampung Kuala Tengah, Kampung Kuala Hilir dan Kampung Medong Hilir, Dalat.