KUCHING: Naib Presiden Parti Bersatu Bumiputera (PBB) menyifatkan tawaran yang diperkenalkan oleh PKR Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) sebagai meraih simpati masyarakat tempatan semata-mata.

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah membidas 10 tawaran yang dikemukakan oleh Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak Abun Sui Anyit baru-baru ini kerana ia telah dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak malah lebih banyak daripada itu.

“Tawaran itu ialah janji kosong… itu yang dapat saya katakan mengenainya namun rakyat lebih arif dan peka dengan janji-janji kosong yang sentiasa ditabur oleh pihak pembangkang apabila demam pilihan raya negeri melanda.

“Mereka nampaknya ketandusan idea untuk meraih sokongan daripada masyarakat di Sarawak dan amat mudah bagi calon-calon mereka untuk menawarkan perkara yang sudah dilaksanakan oleh kerajaan negeri sejak dari dulu lagi,” katanya menerusi satu kenyataan kelmarin.

Abdul Karim yang Menteri Belia dan Sukan menegaskan, Kerajaan Sarawak kini sedang melaksanakan janji-janji kepada rakyat terutamanya yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

“Mereka memberi tawaran begitu banyak yang sudah kita laksanakan pada masa lalu dan lebih-lebih lagi pada masa kini apabila pelbagai jenis bantuan disalurkan kepada masyarakat ekoran Covid-19 sejak Mac lalu.

“Bagaimanapun, saya yakin rakyat Sarawak tidak akan mudah diperdaya oleh tawaran dan omong kosong pihak PKR yang sentiasa asyik dibuai angan-angan untuk mengambil alih tapuk pemerintahan Kerajaan Sarawak meskipun ia bagai jauh bara dari api,” jelasnya.

Tegas Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu lagi, mungkin PKR lupa bahawa janji-janji kosong yang ditaburkan semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu masih belum ditunaikan lagi malah gagal dilaksanakan semasa Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) selama dua tahun sebelum ia bertukar kepada kerajaan baharu (Perikatan Nasional)

“Hanya jauhari juga mengenal manikam dan saya yakin rakyat Sarawak tidak akan mudah terpedaya dengan tawaran PKR. “Ini kerana kesinambungan kehidupan dalam norma baharu lebih diutamakan supaya kehidupan masyarakat terjamin pada masa akan datang,” ujarnya.