SARIKEI: Usaha membaik pulih rumah ibadat termasuk tokong di kawasan DUN N.45 Repok terus dipergiatkan.

Langkah itu amat penting bagi membolehkan masyarakat dapat menggunakan rumah ibadat tersebut dalam suasana yang lebih selesa dan selamat.

Aspek berkenaan amat dititikberatkan oleh ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii yang terus menyalurkan peruntukan melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk membaik pulih tokong-tokong itu.

Antaranya ialah Tokong Kuan Yin, Meruton, Tokong Sing Hing King, Tokong Di Mu, Tokong Lu Ping Kim, Kim San dan Tokong San Nguong Sia, Jakar.

Dalam pada itu, beliau turut berkesempatan turun padang meninjau perkembangan usaha baik pulih tokong berkenaan.

“Secara keseluruhan, usaha baik pulih tokong ini menggunakan peruntukan RTP 2019 selesai sepenuhnya.

“Saya berpuas hati dengan kerjasama semua pihak malah pelaksanaannya juga berjalan lancar,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menggunakan peruntukan RTP bagi membaik pulih prasarana empat buah sekolah itu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) St Martin, SJKC Kiew Mang, SK Sungai Paoh dan SMK Sungai Paoh.