KUCHING: Sebanyak 127 hotel dikenal pasti beroperasi tanpa menguatkuasakan sijil perakuan bomba di Sarawak.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Khirudin Drahman berkata, kesemua 229 hotel di kawasan ketujuh-tujuh zon itu diperiksa menerusi pasukan khas yang ditempatkan di setiap bahagian.

“Hasil pemeriksaan menunjukkan sebanyak 102 hotel masih menguatkuasakan sijil perakuan, manakala 80 hotel dalam proses pembaharuan dan 47 lagi tidak mempunyai sijil. “Setakat 4 Ogos 2020, statistik menunjukkan hanya 45 peratus pematuhan perakuan dilaksanakan hotel di seluruh negeri ini,” jelasnya dalam satu kenyataan kelmarin.

Tambahnya, sebanyak 802 premis pelbagai kategori turut terlibat dalam pemeriksaan pasukan khas operasi pematuhan JBPM Sarawak dengan jumlah kekuatan seramai 1604 anggota operasi.

Menurutnya, operasi pemeriksaan itu dilakukan bermula pada 15 Mei sehingga 6 Ogos, tahun ini.

“Kategori pemeriksaan premis bangunan merekodkan sejumlah 52 permit kependudukan, 119 sijil perakuan, 26 jawatankuasa ruang pejabat, pelesenan sebanyak 142 dan menghapus bahaya kebakaran sebanyak 463,” dedahnya.

Tegasnya, bomba tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan pendakwaan terhadap mana-mana hotel yang tidak mempunyai FC.

Katanya, ia susulan amaran melalui notis selama tempoh enam bulan namun masih tiada tindakan daripada pemilik premis.

Ujarnya, terdahulu sebanyak tujuh pemilik premis pelbagai kategori telah dihadapkan ke mahkamah akibat tidak mematuhi FC yang telah ditetapkan.