BANGKOK: Rakyat Malaysia yang tinggal di Thailand menghulurkan sumbangan untuk membantu seorang wanita warga Malaysia dan neneknya berusia 71 tahun yang telah terkandas di ibu negara ini kira-kira lima bulan.

Ini susulan penutupan sempadan Thailand-Malaysia dan sekatan perjalanan yang dilaksanakan bagi membendung penularan COVID-19.

Bagaimanapun, dalam tempoh kurang tiga hari, Kelab Malaysia Thailand, kelab rasmi bagi rakyat Malaysia yang tinggal di Thailand, di bawah naungan Kedutaan Malaysia di Bangkok mengumpul 83,000 baht (RM11,000) untuk membantu Yee Hueih Yan, 26, dan neneknya Goh Khar Kee dari Kuala Lumpur.

Yee dan Goh berasa lega berikutan KMT telah menyewakan mereka, bilik hotel di Ratchada di sini dan mendapatkan penerbangan untuk mereka pulang ke tanah air pada 12 Ogos.

“Saya amat terharu dan berterima kasih atas bantuan yang dihulurkan oleh rakyat yang pemurah di sini untuk membantu kami. Terima kasih banyak-banyak kerana membantu kami,” katanya kepada Bernama semasa ditemui hari ini.

Yee, penterjemah sambilan, pergi ke Bangkok bersama-sama Goh pada 16 Februari untuk bekerja sebagai penterjemah bagi kumpulan pelancong di sini.

Yee yang tinggal bersama Goh sejak ibu dan bapanya bercerai berkata beliau memutuskan untuk membawa neneknya, yang mengalami masalah katarak berikutan tiada siapa akan menjaganya semasa beliau berada di luar negara.

Bagaimanapun, mereka terkandas apabila sempadan Thailand-Malaysia ditutup sejak 18 Mac manakala penerbangan pula terhad untuk pulang ke tanah air.

“Saya menghubungi Kedutaan Malaysia di Bangkok tetapi disebabkan tambang penerbangan amat mahal kami memutuskan untuk terus tinggal di sini dan berharap keadaan akan bertambah baik,” katanya.

Berikutan penutupan sempadan,  Yee dan neneknya menyewa satu bilik di Ratchada dengan bayaran sewa kira-kira 2,500 baht sebulan dari Mac hingga Julai.

“Dalam pada itu, saya terus melakukan kerja sebagai penterjemah untuk membayar sewa dan keperluan harian. Bagaimanapun, saya kehabisan wang untuk tinggal di tempat itu. Jadi kami keluar dan berkongsi bilik sewa dengan satu keluarga Malaysia berdekatan.

“Seorang rakan cadangkan saya hubungi KMT untuk minta bantuan,” katanya.

Hari ini, Naib Presiden KMT Jeffrey Soh membantu Yee dan neneknya mendaftar masuk semula ke hotel itu dan memberikan wang tunai untuk mereka membiayai perbelanjaan harian di sini.

Sementara itu, Presiden KMT Datuk Bobby Tai mengucapkan terima kasih kepada ahli kelab itu dan rakyat Malaysia yang menghulurkan sumbangan untuk membantu Yee dan neneknya.

“Walaupun kami tidak dapat mengesahkan kesahihan masalah mereka, namun ia adalah perbuatan baik untuk membantu mereka ang memerlukan.

“Bagi semua yang memberikan sumbangan, kami sebagai ahli dan jawatankuasa secara sukarela mengambil tanggungjawab untuk menyelaraskan misi bantuan, akan melakukan yang terbaik untuk memastikan wang anda tidak disalahgunakan,” katanya.– BERNAMA