KUCHING: Anjung Usahawan yang bakal dibina di Gedong akan memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk terlibat dalam bidang pemprosesan makanan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Gedong mempunyai pelbagai sumber kerana tanahnya subur untuk pelbagai jenis tanaman.

Menurutnya, sumber itu merupakan bahan yang diproses, sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk tempatan.

Kata Awang Tengah, kerajaan mahu melibatkan penduduk kampung dalam industri kecil dan sederhana.

“Potensi untuk berkembang begitu besar kerana Gedong mempunyai hubungan jalan raya yang baik.

“Lebuh Raya Pan Borneo masih dalam pembinaan buat masa ini. Apabila siap, jalan raya ini akan memendekkan perjalanan,” katanya pada sidang media setelah mengadakan lawatan ke tapak projek Anjung Usahawan di Gedong semalam.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan menambah, walaupun di luar bandar, petani dapat memasarkan produk ini ke pasaran yang lebih besar.

Beliau turut memberitahu, kos pembinaan Anjung Usahawan di Gedong bernilai RM15 juta dan tender dikeluarkan bulan ini.

Katanya, tapak Anjung Usahawan telah dikenal pasti dan menyediakan pelbagai kemudahan seperti bengkel dan kemahiran untuk penduduk setempat.

Selain itu, beberapa projek bakal dilaksanakan di Gedong seperti projek benteng dan Kompleks Sukan Gedong.