KUCHING: Satu kes positif Covid-19 dilaporkan di Daerah Kuching hari ini, melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pelajar di Dar Al-Mustafa, Yaman.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata pelajar berkenaan balik dari Cairo, Mesir ke Kuala Lumpur melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 Ogos lalu dengan menaiki pesawat Syarikat Penerbangan Egypt Air.

Katanya dia telah singgah sementara di KLIA sebelum balik ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 2 Ogos.

“Setibanya kes di Lapangan Terbang Kuching, kes telah dibawa terus ke pusat kuarantin hotel untuk menjalani kuarantin wajib 14 hari.

“Kes juga adalah kontak rapat dan rakan sepengajian di Dar Al-Mustafa kepada kes ke-679 yang telah disahkan positif Covid-19 pada 7 Ogos yang lalu.

“Kes ini tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala,” katanya.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak sebanyak 681 kes.

Kenyataan itu menambah lelaki itu telah menjalani saringan Covid-19 menggunakan RTK Antigen pada 2 Ogos setibanya di Kuala Lumpur dan keputusan ujian RTK Antigen adalah negatif.

“Semasa menjalani kuarantin di pusat kuarantin hotel di Kuching, kes diambil calitan untuk ujian rT-PCR bagi saringan pertama pada 3 Ogos dan keputusan ujian makmal pada 6 Ogos juga mendapati kes adalah negatif Covid-19.

“Walau bagaimanapun, pada 8 Ogos kes telah menjalani saringan kedua rT-PCR Covid-19 pada hari ke-10 dan ujian makmal oleh Makmal Hospital Umum Sarawak (HUS) pada hari yang sama mendapati kes adalah positif Covid-19,” katanya.

Pelajar berkenaan telah dimasukkan ke wad HUS pada 8 Ogos untuk rawatan lanjut.

Pengesanan kontak dan siasatan lanjut masih dijalankan dan kes ini dikategorikan sebagai kes import dari luar negara.