KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menjelaskan istilah ‘kereta terbang’ itu sebenarnya merujuk kepada super drone mengikut konteks sebenar dalam industri mobiliti udara.

Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata , pada sesi menjawab soalan berbangkit bagi Medac di Dewan Rakyat pada Rabu lepas, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Ramli (PH-Lumut) bertanya tentang usaha kerajaan berkaitan pembangunan ‘kereta terbang’.
“Pada sesi itu saya menjelaskannya. Namun, saya terpanggil untuk sekali lagi memberi penjelasan berikutan ada beberapa pihak yang masih tidak begitu jelas dengan jawapan yang saya berikan itu agar tidak timbul sebarang salah faham,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

Beliau berkata, industri dron atau super drone dalam konteks mobiliti udara mempunyai potensi yang tinggi dalam pasaran tempatan dan antarabangsa selain industri mobiliti bandar ini boleh diaplikasikan dalam pelbagai sektor lain.

“Mobiliti udara ini juga turut dilengkapi teknologi terkini seperti Kecerdasan Buatan (AI), Data Raya, Mobiliti dan Internet Pelbagai Benda (IoT) yang kini sedang berkembang pesat terutama di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Wan Junaidi berkata, di Malaysia industri itu pada masa ini masih diterajui dan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta dan tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan.

“Medac hanya berperanan sebagai pemudah cara kepada pembangunan usahawan kecil dan sederhana tempatan dalam industri ini,” ujarnya.

Menurutnya, industri mobiliti udara dan industri berteknologi tinggi lain merupakan industri yang berpotensi dan berupaya membuka peluang kepada satu bidang keusahawanan yang baharu dan boleh dikomersialkan terutama di peringkat antarabangsa.

Menjawab pertanyaan daripada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pula, Wan Junaidi berkata, disebabkan tidak mempunyai butiran lanjut, beliau tidak menjawab soalan tersebut.

Pertanyaan itu merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Dr Noraini Ahmad (PN-Parit Sulong), yang juga Pengerusi PAC pada 28 November tahun lepas bahawa projek kereta terbang sebelum ini menerima suntikan dana kerajaan sebanyak RM20 juta.

“Namun begitu, setelah mendapat maklumat yang dipinta oleh Ahli Parlimen Pasir Mas tersebut hari ini, saya ingin menjelaskan bahawa ada permohonan untuk RM20 juta.

“Bagaimanapun, ia bukan untuk apa yang dikatakan sebagai ‘projek kereta terbang’ tetapi untuk penyelidikan ke atas ‘prototaip kereta nasional’,” jelasnya.

Beliau berkata, permohonan peruntukan RM20 juta asalnya dibincang pada Majlis Pembangunan Negara ketika itu untuk prototaip projek kereta nasional baharu (NNCP).

“Majlis seterusnya meluluskan peruntukan RM8 juta sahaja untuk prototaip NNCP yang disalurkan kepada syarikat DreamEdge melalui Malaysian Industry-Government Group for High Technology (Might) yang pada masa itu terletak di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Katanya lagi, peruntukan RM8 juta yang telah diluluskan itu disalurkan kepada syarikat tersebut menggunakan peruntukan geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) InnoFund dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) bagi membangunkan projek kereta nasional.

“Namun begitu, saya yakin kementerian yang terbabit dalam menyalurkan dana tersebut akan memantau kemajuan projek dan status suntikan fiskal itu,” katanya.

Wan Junaidi menjelaskan, keutamaan Medac sekarang bukan projek dron atau super drone tetapi memberi perhatian khusus kepada pembangunan usahawan kecil dan sederhana, mikro dan koperasi.

Kumpulan tersebut katanya, banyak terjejas akibat pandemik Covid-19, selain mencapai hasrat dan matlamat yang digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030. – Bernama