KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg enggan mengulas pengumuman bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung isu penubuhan parti baharu pada 7 Ogos lalu.

“Mana katanyalah sia, malas I nak komen (itu terpulang kepada beliau, saya tidak mahu mengulasnya),” kata beliau kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Rasmi di Projek Pembinaan Jambatan Kampung Bintangor, di Jalan Datuk Ajibah Abol di sini semalam.

Dr Mahathir mengumumkan, parti baharu itu akan mendukung dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti penubuhannya dahulu.

Ia juga ditubuhkan atas semangat Melayu serta bersifat inklusif dan moderat termasuk berpegang pada janji, ikhlas serta berprinsip.

Pada Mei lalu, Dr Mahathir bersama-sama empat yang lain digugurkan keahlian daripada Bersatu Malaysia.

Antaranya ialah bekas Ketua Menteri Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Keahlian kelima-limanya digugurkan atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Dalam hal berkaitan, menjawab soalan mengenai tindakan Pas Sarawak mengeluarkan kenyataan akan bertanding pada PRN akan datang Abang Johari berkata, itu terpulang kepada parti itu.

“PRN masih lama, biarkan mereka mengumumkan apa-apa sahaja mengenainya. Tidak apa,” ujarnya.

Sebelum ini, Pas senada dengan Perdana Menteri tidak akan meletakkan mana-mana calon di kerusi Dun Sarawak sebagai tanda sokongan kepada Kerajaan GPS.

Namun jelas Adun Satok itu, sama ada kepimpinan atas mengarahkan mereka atau tidak, beliau tidak tahu.

“Tetapi GPS, bila-bila masa sahaja sudah bersedia,” tegasnya.

Beliau mendedahkan, GPS tidak gentar untuk berhadapan dengan PRN yang akan datang kerana ia berteraskan demokrasi.

“PRN juga masih lama,” jawabnya ketika disoal mengenai khabar angin PRN akan berlangsung dalam masa terdekat.