KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM60 juta untuk membiayai kos operasi mengekang penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kos operasi berkenaan merangkumi pembelian alat pelindungan diri (PPE) dan kuarantin orang di bawah pemantauan (PUI) di hotel.

“Apabila Datuk Amar Douglas Uggah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memohon peruntukan, saya meluluskan kerana ia adalah inisiatif bagi memerangi musuh tidak kelihatan ini.

“Ia satu wabak yang agak menakutkan apabila meragut 718,000 nyawa setakat ini dengan lebih 19 juta orang lagi di seluruh dunia didapati positif Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Komuniti Kepolisan JKKK dan Rukun Tetangga Peringkat Negeri di sini kelmarin.

Susulan itu kata Abang Johari, Kerajaan Sarawak bertindak menutup sempadan negeri setelah gelombang pertama Covid-19 melanda negeri ini pada Mac lalu.

“Bagaimanapun, Gabenor Kalimantan Barat menulis surat kepada saya untuk membuka semula sempadan apabila penduduk mereka yang tinggal berhampiran dengan sempadan menghadapi kekurangan bekalan makanan.

“Atas dasar kemanusiaan, kita buka sempadan tetapi penyaluran bekalan makanan dilakukan dengan tersusun apabila tiada pertemuan secara langsung dilakukan,” katanya.

Tambahnya, pergerakan rakyat dari negara jiran juga dipantau termasuk laluan tikus semasa pandemik Covid19. “Kemudian, Gabenor Kalimantan Barat mengutus sepucuk lagi surat untuk mengucapkan terima kasih kepada kita,” ujarnya.

Pada 22 Mei lalu, Kerajaan Sarawak bersetuju dengan permohonan daripada Gabenor Kalimantan Barat untuk membuka pintu Sempadan di Lubok Antu-Nanga Nadai, Tebedu-Entikong dan Biawak-Aruk secara sekali buka untuk penyaluran bekalan makanan.

Ia untuk penghantaran dua kontena yang membawa makanan ruji dan sebuah sebuah trak (10 tan) dikhaskan mengandungi telur digerakkan ke sempadan Indonesia.