KUCHING: Bersih Sarawak memohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperluaskan lagi kaedah pengundi pos kepada rakyat terutamanya penduduk Sarawak yang tinggal di luar negeri ini, bagi memudahkan proses pengundian pada PRN akan datang.

Pengerusi Bersih Sarawak Ann Teo (gambar) berkata, kaedah itu adalah wajar kerana turut termaktub dalam Peraturan 3 (1)(e) Peraturan Pilihan Raya (Undi Pos) Peraturan 2003.

“Perkara ini sepatutnya dilakukan sebelum PRU yang lepas dalam usaha melebarkan lagi kaedah pengundian pos. Ini penting untuk kakitangan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara, anggota Maritim dan beberapa jabatan lain yang bertugas semasa hari pengundian.

“Jadi, bagi mana-mana individu sudah mendaftarkan sebagai pengundi di bawah Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pengundi) 2002 dan menjadi pengundi yang digazetkan sebagai pengundi pos oleh SPR – mereka berhak menjadi pengundi pos selari dengan peraturan ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan menggalakkan pengundian melalui pos juga sesuai dengan situasi negara yang masih berada dalam lingkungan pasca-Covid-19.

Katanya, selain risiko kesihatan, tambang untuk terbang ke kampung halaman juga agak mahal akibat krisis kesihatan global ini.

“Bersih berpendapat bahawa kaedah ini boleh diguna pakai untuk rakyat Sarawak dan Sabah yang menyambung pengajian di luar atau bekerja di negeri-negeri lain.

“Untuk itu, Bersih 2.0, Bersih Global dan beberapa NGO yang lain memperjuangkan perkara sama. Kami sebulat suara berpendapat, kaedah pengundian pos wajar diperluaskan,” katanya.

Menurut Teo, agensi berkaitan perlu mengambil serius isu ini kerana melibatkan hak demokrasi rakyat dalam menentukan wakil rakyat serta masa depan negeri masing-masing.

Terdahulu, Bersih Sarawak melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan UndangUndang) Takiyuddin Hassan bahawa penduduk Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia tidak memenuhi syarat untuk mendapatkan hak pengundian pos khas jika pilihan raya diadakan.