KUCHING: Tujuh individu yang dilkhuatiri hilang semasa mendaki gunung Santubong akhirnya ditemui dalam keadaan selamat terkandas di Teluk Belian, semalam.

Terdahulu, kesemua mangsa terdiri daripada lima wanita dan dua lelaki dipercayai warga tempatan dilaporkan hilang setelah kelibat mereka gagal dikesan keluar dari kawasan pergunungan sekitar jam 6.40 petang.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerusi satu kenyataan mengesahkan seramai tujuh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya bersama sebuah bot penyelamat telah dikerahkan ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Menurutnya, pasukan operasi pada awalnya melaporkan pihaknya bagaimanapun tidak menemui mangsa di kawasan lokasi dilaporkan hilang.

Sejurus kemudian, katanya, kesemua mangsa berjaya dikesan berada di Teluk Belian sekitar jam 7.50 petang setelah salah seorang daripada mereka berjaya dihubungi menerusi talian telefon oleh petugas kem Permai.

“Kesemua mangsa telah keluar melalui jalan hutan dan pantai lalu tiba ke kem Permai dengan selamat pada jam 12.35 tengah malam.

“Setibanya di kem, mangsa seterusnya diberikan rawatan awal dan didapati seorang daripada mangsa mengalami kepenatan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, operasi akhirnya ditamatkan sepenuhnya sekitar jam 12.40 pagi.