BETONG: Pemuda Parti Sarawak Bersatu (PSB) dibidas kerana mengulangi kenyataan mempertikai projek pembangunan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai projek tidak menguntungkan rakyat.

Ketua Pemuda GPS Gerald Rentap Jabu berkata, PSB sengaja tidak memahami tanggungjawab Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai ketua eksekutif di peringkat negeri.

“Abang Johari sebagai pemimpin teratas menjadi ketua kepada semua rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama. “Justeru, keikhlasan dan usaha murni beliau untuk membangunkan pelbagai projek pembangunan termasuk Jalan Utama Kedua dan Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (Unifor) sepatutnya disokong.

“Namun sikap asyik menentang PSB tidak akan memberi keuntungan kepada rakyat,” katanya kepada Suara Sarawak ketika membidas kenya-taan Pemuda

PSB yang mempersoal tindakan Kerajaan GPS meluluskan Kompleks Unifor, semalam. Adun Layar itu berkata, pendirian PSB menunjukkan mereka mempunyai agenda tersirat.

“Rakyat harus sedar kerana ini bukan kali pertama PSB mempersoal perjuangan pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan GPS.

“Sebelum ini mereka menyangkal pembinaan Jalan Utama Kedua, sedangkan rangkaian tersebut amat penting untuk menghubungkan kampung, rumah panjang, pekan dan bandar di seluruh Sarawak.

“Mentaliti yang sangat merugikan,” ulanginya. Rentap mengakui kekuatan Sarawak selama ini kerana perpaduan kaum.

“Saya yakin semangat ini akan memastikan masa hadapan anak cucu kita terjamin. Teruskan perjuangan Abang Johari,” jelasnya.

Sebelum ini, Pemuda PSB mempersoal tujuan pembangunan Kompleks Unifor yang diluluskan dengan kos RM70 juta. Mereka mendakwa, peruntukan sebesar itu merupakan pembaziran.